Mama Zara antara terawal tahu tentang lantikan saya – Marhamah

22 hours ago 9

PETALING JAYA – Marhamah Rosli memaklumkan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir antara yang terawal mengetahui tentang lantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dalam perkongsian di Facebooknya, beliau berkata, berita lantikan itu juga diketahui oleh peguam kepada Noraidah Lamat.

“Untuk makluman semua, Mama Zara sebenarnya antara orang terawal yang tahu tentang lantikan ini, begitu juga dengan peguam beliau. Beliau sangat teruja dan sempat menasihati saya tentang tatacara pemakaian penjawat awam,” katanya.
Marhamah berkata, sejak awal lagi, beliau bersama Noraidah bergerak sebagai satu pasukan dan hingga ke hari ini, mereka masih berhubung hampir setiap hari, saling bertanya khabar dan berkongsi perkembangan, sama seperti sebelum ini.

Katanya, Noraidah juga orang yang paling konsisten memberi dirinya semangat apabila dikecam dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Walaupun sekarang saya memegang amanah sebagai Timbalan Menteri, sokongan saya tidak pernah berubah.

“Saya akan terus menjaga silaturahim, memberi sokongan dan berkongsi pandangan seperti sebelum ini, cuma dengan peranan dan cara kerja yang berbeza. Terima kasih Mama Zara atas sokongan dan dukungan buat saya,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Marhamah turut berkongsi pertemuan singkat bersama Noraidah ketika pulang ke Sipitang, Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu dirinya sempat makan bersama-sama Noraidah selain berbincang tentang hal hidup dan perjuangan.

“Sebelum saya balik, beliau (Noraidah) hadiahkan sepasang baju kurung miliknya. Sebab beliau tahu saya tiada baju kurung. Perkara kecil, tapi besar maknanya bagi saya.

“Baju ini saya terus pakai esoknya untuk lawatan, untuk mengingatkan saya tentang semangat perjuangan bersama,” ujarnya.

Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.

Selepas kejadian itu, Marhamah merupakan antara individu terawal yang tampil menyokong Noraidah dalam menuntut keadilan buat anak tunggalnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |