Malaysia waspada amukan Gajah Perang

17 hours ago 4

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) waspada dengan kebangkitan Thailand menjelang Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2026 berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 15 hingga 24 Mei depan.

Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan mengingatkan pemain agar tidak terlalu selesa dibuai kejayaan Sukan SEA Thailand baru-baru ini kerana musuh tradisi itu pasti melakukan persiapan lebih rapi untuk menebus maruah yang tercalar.

Jelasnya, kekalahan Thailand ibarat ‘luka baharu’, berbeza dengan Malaysia yang sudah menanggung kecewa selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan dan menjadikan misi kebangkitan Gajah Perang di Kuala Lumpur nanti lebih berbahaya.

“Dalam keadaan kita baru menang Sukan SEA, sudah tentulah Thailand akan buat persiapan lebih rapi dan mungkin ada rombakan pemain.

“Saya faham dia (Thailand) baru terluka. Kita luka dah 34 tahun. Mungkin luka tu ilebih daripada 34 kali. Jadi bila dia luka sekali ini, rasa nak cipta kebangkitan itu mudah saja bagi mereka.

“Jad saya dah pesan kepada pemain-pemain kebangsaan supaya berhati-hati, jangan terlalu selesa dan pertingkatkan lagi prestasi hari demi hari,” katanya.

Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bakal mencipta sejarah tersendiri iaitu penyertaan tertinggi 26 negara bersaing dalam dua kategori, Premier dan Divisyen 1 dengan perubahan format Premier apabila acara kuadran menggantikan double, selain regu berpasukan dan regu.

Senarai negara bertanding Premier adalah Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Brunei, Filipina, Myanmar, Vietnam, China serta dua pasukan dinaikkan pangkat dari Divisyen 1 iaitu Iran dan Taiwan.

Bagi Divisyen 1, negara-negara terlibat seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Nepal, Oman, Kanada, Poland, Perancis, Iraq, Amerika Syarikat, Timor Leste dan Arab Saudi.

Dalam perkembangan sama, PSM turut mengumumkan senarai 24 pemain bagi skuad podium yang dibarisi gabungan senior berpengalaman dan sembilan muka baharu sebagai pelapis masa depan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |