PUTRAJAYA– Malaysia Techlympics 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berjaya mencatatkan sambutan luar biasa dengan penglibatan lebih 1.84 juta penyertaan dari 1,420 sekolah seluruh negara, sekali gus menjadikan program pembudayaan paling besar diadakan sejak 2022.
Daripada jumlah penyertaan itu, lebih 5,000 peserta termasuk dari Thailand, Kemboja dan China akan berentap pada peringkat final yang dijadualkan berlangsung pada 9 dan 10 November di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka ( MITC), Melaka.
Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI Mosti, Abdullah Daud berkata, Malaysia Techlympics merupakan satu gerakan nasional pembudayaan STI yang menyemai minat terhadap sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda berusia antara 7 hingga 30 tahun. “Kami mahu pelajar rasa bangga, ibu bapa rasa yakin dan masyarakat melihat bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan. Dari pentas Malaysia Techlympics ini, mungkin lahir saintis, pencipta dan usahawan teknologi masa depan negara.
“Penyertaan pasukan antarabangsa dan peluang ke kejohanan global dalam program ini membuktikan komitmen Malaysia untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia ke pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Selain membawa pulang trofi dan wang tunai keseluruhan bernilai RM141,100, pemenang akan mewakili Malaysia ke pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa antaranya Pilot X International di Hong Kong.
Katanya, Malaysia Techlympics yang memfokuskan pendekatan inklusif dan menyeluruh turut melibatkan seramai 2,500 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menerusi pertandingan Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman).
“Bagi memastikan setiap pelajar tanpa mengira latar belakang atau keupayaan mendapat peluang yang sama, Mosti telah menjalankan lebih 90 program keterangkuman di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli.
“Selain pertandingan Malaysia Techlympics, MITC Melaka akan menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga termasuk pameran STI dengan 40 ruang pameran interaktif, demonstrasi teknologi, aktiviti sains dan pertunjukan khas,” katanya.
Menurutnya, salah satu tarikan utama pada acara kali ini ialah pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia melibatkan 40 unit dron yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Records.
“Mosti mensasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada hari kemuncak dengan kemasukan percuma untuk orang ramai,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

5 hours ago
1







![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)




![[VIDEO] Usahawan hartanah Azlan Al Amin, lima lelaki lain didakwa bergaduh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0516-e1761545380931.jpeg)






![[VIDEO] Rumah jadi longgokan sampah, penyewa enggan keluar](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0507.jpeg)





























