KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab pembuatan perubatan berteknologi tinggi dan hab inovasi penjagaan kesihatan di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan cabaran besar yang perlu diterima dan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ujar beliau, hasrat tersebut memerlukan perubahan yang sistematik dengan sikap berbeza dan set polisi yang benar-benar dapat membawa perubahan.
“Kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang dan RM45 bilion (peruntukan Bajet 2025 kepada KKM) sukar untuk perbendaharaan dan kementerian ekonomi luluskan.
“Tetapi kita memerlukan infrastruktur yang lebih baik untuk meningkatkan tenaga kerja, meningkatkan kemahiran, penyepaduan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan 5G dalam sistem penjagaan kesihatan.
“Semua ini mesti dilaksanakan dengan efisien dan telus,” katanya pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di sini hari ini.
IMDEC 2024 mengumpulkan lebih 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pengunjung dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan.
Ia merupakan platform untuk dialog industri, perkongsian ilmu dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal serta meneroka kemajuan teknologi dalam sistem penjagaan kesihatan.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penekanan Malaysia dalam bidang transformasi digital dan AI adalah bersungguh-sungguh dan memerlukan kesediaan pemimpin membuat perubahan mendadak.
Kata beliau, masalah perolehan yang lebih telus yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan tidak terikat dengan peraturan, kaedah serta pendekatan lama perlu dilaksanakan.
Tambah beliau, soal jaringan juga akan dapat diperbaiki dengan kemudahan digital dan AI yang diperkenalkan termasuk di KKM.
Dalam pada itu, kataya, Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN bermula tahun depan komited untuk mewujudkan rangka kerja yang lebih efisien dan kawal selia bersepadu dalam aspek penjagaan kesihatan di rantau ini.
Menurut beliau, matlamat utama bukan sahaja mengurangkan halangan pasaran terhadap pengusaha, tetapi meningkatkan akses orang ramai kepada peranti perubatan yang selamat dan efektif.
Jelas beliau, usaha tersebut akhirnya bakal meningkatkan penjagaan pesakit dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan untuk 618 juta penduduk di rantau ini.
“Kepercayaan kepengerusian ASEAN tahun depan yang pertama adalah tentang grid tenaga, kedua pendigitalan dan ketiga tentang penjagaan kesihatan yang sudah tentu dikenal pasti sebagai tonggak utama untuk pertumbuhan yang ketara,” katanya. – KOSMO! ONLINE