PETALING JAYA – Skuad hoki dalam dewan lelaki negara sekali lagi terpaksa akur dengan kekuatan Argentina apabila tewas 2-6 dalam perlawanan penentuan kedudukan 9 hingga 12 pada Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia sebentar tadi.
Anak-anak buah Rodzhanizam Mat Radzi yang sebelum ini tewas 2-5 kepada lawan sama di peringkat kumpulan B, gagal mencari rentak meskipun cuba memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.
Argentina membuka jaringan menerusi pukulan penalti Joaquin Gonzalez pada minit ke-10, diikuti gol padang daripada Gaston Rodriguez (m-13), Facundo G Navarro (m-15) dan Santiago Moron (m-16) yang memberikan mereka kelebihan 4-0 di separuh masa pertama.

Malaysia cuba bangkit di separuh masa kedua apabila Muhammad Ashran Hamsani akhirnya memecah kebuntuan dengan gol pada minit ke-25.
Seterusnya, Muhamad Izham Azhar menambah satu lagi gol pada minit ke-39, namun ia masih belum cukup untuk menyaingi kehebatan Argentina.
Pasukan lawan terus memastikan kemenangan dengan gol kelima dan keenam menerusi Gaston Rodriguez (m23) dan Juan Eleicegui (m-40), sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 6-2.
Malaysia kini akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ke-11 menentang Trinidad & Tobago pada Ahad ini dan peluang masih terbuka untuk skuad negara mengakhiri kejohanan dengan keputusan yang lebih positif. – KOSMO! ONLINE