PETALING JAYA – Malaysia berbesar hati menerima kunjungan rasmi Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan isteri ke negara ini hari ini, yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu lawatan bersejarah yang memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Anwar menyifatkan Presiden Lula sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang lantang memperjuangkan keadilan sosial, nasib kaum pekerja serta isu kemanusiaan di pentas dunia, termasuk dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza dan usaha mengekang krisis iklim global.
“Malaysia amat menghargai pendirian beliau yang tegas menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam pertemuan rasmi itu, kedua-dua pemimpin bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, teknologi makanan, keterjaminan makanan, pendidikan, budaya, teknologi tinggi serta semikonduktor.
Malaysia turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Brazil atas dukungan kepada Petronas dan Yinson, selain peluang yang diberikan untuk memperluas kerjasama dalam teknologi pertanian dan industri makanan.
Anwar turut berkongsi bahawa pemikirannya banyak dipengaruhi oleh ilmuwan Brazil, Dr. Ezraily Vargas, yang pernah membimbingnya pada usia muda.
“Beliau menanam keyakinan bahawa kemajuan sesebuah negara mesti berteraskan ilmu, penyelidikan yang mendalam dan inovasi yang menepati semangat zaman,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kunjungan Presiden Lula bukan sekadar memenuhi protokol kenegaraan, tetapi juga mencerminkan nilai bersama antara Malaysia dan Brazil iaitu kemanusiaan, keadilan dan harapan untuk dunia yang lebih bermaruah.
“Kedua-dua negara beriltizam untuk bergerak seiring, merapatkan rantau Asia Tenggara dan Amerika Latin sebagai satu ketumbukan dalam memperjuangkan kemakmuran dan kemuliaan insan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

3 hours ago
4

















































