PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) hari ini mengumumkan anak syarikatnya yang dimiliki 80 peratus Malakoff Silver Solar Sdn. Bhd. (MSSSB) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pembangunan kemudahan solar berskala besar (LSS) berkapasiti 470 MW di Larut dan Matang, Perak.
Pengarah MSSSB dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, perjanjian itu mencerminkan kemajuan berterusan dalam peralihan tenaga bersih Malaysia, dengan Malakoff memainkan peranan aktif dalam merealisasikan aspirasi tenaga boleh baharu negara.
Menurutnya, perjanjian ini merupakan satu pencapaian penting buat Malakoff dan ia menyediakan asas jangka panjang diperlukan untuk projek ini serta mencerminkan keyakinan untuk melaksanakan pembangunan LSS terbesar di Malaysia di bawah Program LSS PETRA 5+.
“Selain menambah kapasiti yang ketara kepada portfolio tenaga boleh baharu (RE) kami, projek ini turut menyokong usaha peralihan tenaga negara dengan meningkatkan ketersediaan tenaga hijau kepada grid nasional. Projek LSS merupakan sebahagian daripada pelan pengurangan karbon Malakoff.
“Pembangunan ini menyumbang kepada pengelakan karbon dan dijangka membantu mengurangkan secara berperingkat keamatan pelepasan keseluruhan Malakoff. Kami melihat ini sebagai peluang untuk menunjukkan pendekatan pembangunan tenaga yang bertanggungjawab dan terarah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan SPPA dimeterai ini, projek tersebut dapat bergerak ke fasa seterusnya dan memastikan manfaat jangka panjang daripada pengurangan pelepasan hingga pengembangan tenaga mampan dapat direalisasikan untuk rakyat Malaysia.
“Ia juga menegaskan kepentingan pasukan yang berdaya dan komited di sebalik pembangunan ini. Usaha merekalah yang membolehkan kami melaksanakan projek berskala besar dengan ketepatan dan keyakinan, dan ini kekal sebagai teras kepada cara kami mencipta nilai untuk negara,” katanya.
SPPA tersebut memformalkan komitmen MSSSB untuk mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan solar fotovoltaik di Windsor Estate serta membekalkan tenaga bersih kepada TNB sepanjang tempoh perjanjian.
Projek ini akan menjadi projek LSS terbesar di Malaysia di bawah Program LSS PETRA 5+, selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara melalui pengembangan portfolio RE Malakoff.
MSSSB merupakan sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki bersama antara Malakoff (80 peratus) dan Solarvest Holdings Berhad (20 peratus). Perjanjian ini memperincikan obligasi berkaitan penjanaan dan penghantaran tenaga sepanjang tempoh 21 tahun, dengan operasi komersial disasarkan bermula pada suku pertama tahun 2028.
Walaupun pemeteraian SPPA ini tidak dijangka memberi kesan kewangan material kepada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Malakoff menjangkakan sumbangan pendapatan jangka panjang apabila kemudahan tersebut mencapai operasi komersial. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3



![[VIDEO] Enam tahun berjuang di hutan belantara, Cikgu Zul akhirnya pergi jua](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/SK-POS-BALAR.jpeg)










![[VIDEO] Berkali-kali salam guru, sebak hari terakhir persekolahan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/tular-viral-murid-ppki.jpeg)


































