PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) meraih Anugerah Perak bagi kategori syarikat dengan modal pasaran RM2 bilion hingga RM10 bilion di National Annual Corporate Reporting Awards (NACRA) 2025.
Malakoff dalam kenyataan berkata, pencapaian ini diraih melalui penyertaan sulung syarikatnya dalam anugerah berprestij itu.
“Kriteria penjurian meliputi empat komponen utama iaitu maklumat korporat, penyata kewangan, laporan kemampanan serta pendedahan tadbir urus korporat.
“Laporan Tahunan Bersepadu 2024 Malakoff diiktiraf atas ketelusan, kelengkapan dan keupayaannya menggambarkan prestasi operasi, kewangan dan kemampanan syarikat dengan seimbang,” katanya.
Kenyataan itu turut menambah, pelaporan tersebut merangkumi tahun penting bagi Malakoff apabila telah memperkukuh portfolio tenaga boleh baharu (TBB), memperluas keupayaan penyelesaian alam sekitar dan menunjukkan perubahan ketara dalam hala tuju jangka panjang syarikat.
Jelas Malakoff, usaha ini disokong dengan peningkatan pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) termasuk penambahbaikan dalam pengukuran serta pengurusan pelepasan gas rumah hijau di seluruh operasi.
“Laporan syarikat turut menunjukkan kemajuan ketara dalam perjalanan transisi tenaga, kapasiti RE yang meningkat daripada 173 MW pada 2024 kepada 768 MW didorong oleh pembangunan solar berskala besar, pertumbuhan projek solar komersial dan industri, serta penambahan fasiliti Sisa Pepejal kepada Tenaga berskala besar pertama Malakoff.
“Selain itu, peningkatan dalam pengurusan sisa, pencapaian kitar semula, penambahbaikan tadbir urus dan prestasi keselamatan turut dilaporkan secara terperinci,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syahrunizam Samsudin berkata, anugerah ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh budaya pelaporan organisasi.
“Ini adalah tahun pertama kami menyertai NACRA dan kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia mencerminkan usaha seluruh organisasi dalam mempertingkat cara kami menyampaikan prestasi dan perjalanan transisi tenaga kami.
“Bagi kami, ketelusan bukan sekadar keperluan pematuhan. Ia merupakan asas kepada bagaimana kami membina kepercayaan, mengukuhkan tadbir urus dan memastikan keputusan dibuat berasaskan data yang jelas dan boleh dipercayai,” ujarnya.
Beliau berkata, memandangkan kepentingan kelestarian yang semakin meningkat di peringkat global serta tuntutan ketelusan secara lebih tinggi daripada pemegang taruh, pihaknya percaya bahawa penyelarasan dengan keperluan pelaporan terperinci Bursa Malaysia adalah hala tuju peraturan tepat untuk negara.
“Ini juga sejajar dengan peranan kami dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero Carbon) menjelang 2050,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 month ago
38






![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)










![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)































