KUALA LANGAT – “Tragedi itu mengejutkan kerana mereka yang dilahirkan pada Mei turut pergi meninggalkan kami bulan yang sama buat selamanya,”.
Itu luahan pilu Noor Azilawati Mudasir apabila anak perempuannya Norsyahadah Asmadi, 20, maut bersama suami dan anak perempuan berusia setahun selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa di Kilometer 53 Jalan Klang -Banting-Port Dickson di sini, kelmarin.
Lebih memilukan, Norsyahadah dan Muhammad Azarith Farhan Zulkifli, 20, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran anak mereka, Nur Halwatuzahra semalam, namun bertukar menjadi kenduri tahil.
Menurut Noor Azilawati, 50, pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu sebelum dikurniakan cahaya mata tunggal pada 25 Mei tahun lalu.
“Adik (Norsyahadah) yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu dilahirkan pada 12 Mei 2005 manakala arwah suaminya pada 22 Mei tahun sama.
“Dia (arwah) sempat menyatakan hasrat mahu mengadakan kenduri kesyukuran bagi sambutan kelahiran anaknya semalam, namun tidak menjadi kenyataan sebaliknya menjadi kenduri mereka,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Taman Sijangkang Jaya di sini, hari ini.
Menurut Noor Azilawati, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja bekas suaminya di Tanjong Sepat dan turut mahu bermandi manda di pantai berdekatan.
“Sejak awal berumah tangga, adik bersama suami dan anak sememangnya tinggal bersama bapanya di Batu 7, Kampung Sijangkang.
“Namun, kami sekeluarga terkejut apabila mengetahui berita tragedi itu daripasa kumpulan WhatsApp kira-kira pukul 2 petang,” ujar ibu tunggal itu.
Tambah beliau, Norsyahadah turut sempat mengirimkan mesej ucapan hari jadi kepadanya pada 5 Mei lalu, namun agak panjang dan ‘berbunga’ berbanding sebelum ini.
Sementara itu, abang arwah, Muhd. Aliff Daniel, 24, berkata tiga beranak berkenaan dilihat kali terakhir ketika keluar dari rumah mereka, kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Arwah sebelum ini juga pernah berpesan supaya saya boleh mengambil bilik tidur mereka sekiranya dia sudah berpindah atau ‘tiada’ nanti,” katanya.
Jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kampung Medan di sini, pagi semalam. – KOSMO! ONLINE