PETALING JAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu mengutip sebanyak RM138 juta lagi bagi memastikan kesinambungan asnaf terus dibela.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kutipan zakat yang diterima Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) setakat ini RM868 juta.
“Sehingga 17 Disember 2024 sebanyak RM1,006 bilion telah diagihkan kepada asnaf yang memerlukan. Agihan yang telus, cepat dan sampai kepada asnaf.
“Namun, melihat kepada kutipan zakat yang diterima oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), RM868 juta jauh berbanding jumlah agihan zakat.
“Ini bermakna sekurangnya sebanyak RM138 juta lagi perlu dikutip bagi memastikan kesinambungan asnaf akan terus dibela,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, realiti hidup di tengah bandar khususnya Wilayah Persekutuan amat mencabar, maka seseorang yang diberikan rezeki untuk membina kehidupan di ibu kota adalah beruntung dan wajar bersyukur.
Bagaimanapun, katanya, tidak boleh dinafikan ada yang kurang bernasib baik dan masih mencuba untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik di ibu kota.
“Melalui dana zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melaksanakan agihan zakat dengan sebaiknya. Lebih 30,000 keluarga asnaf, malah ratusan ribu asnaf telah dan sedang disantuni melalui 38 skim bantuan zakat.
“Bantuan yang diberi disalurkan terus secara bulanan bagi memastikan asnaf ini terus dapat menjalani kehidupan,” katanya.
Tambah beliau, kos sara hidup semakin meningkat terumata dalam situasi miskin bandar yang kian meruncing bermakna bantuan zakat perlu dipertingkatkan dan ‘kantung’ zakat juga perlu diperbesarkan.
“Jutaan ucapan terima kasih kepada pembayar zakat PPZ-MAIWP yang selama ini menjadi ‘sang juara’ kepada asnaf di Wilayah Persekutuan. Bantu kami untuk terus membantu asnaf yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE