Luxxure Legacy inovasikan minuman kopi guna menu makanan

3 weeks ago 18

KUALA LUMPUR – Potensi industri minuman di negara ini memberi rezeki kepada ramai usahawan tempatan sehinggakan ada yang mampu memba­ngunkan kilang sendiri dan ada juga yang berjaya mengeksport produk ke pasaran luar negara.

Permintaan tinggi daripada peminat minuman trend masa kini itu juga membuatkan ramai usahawan kecil menceburkan diri mengikut cara dan kreativiti masing-masing.

Lantas limpahan rezeki itu dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi semasa.
Ini tidak terkecuali bagi salah sebuah syarikat bumiputera yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa iaitu Luxxure Legacy yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan yang memfokuskan kepada pengeluaran produk kopi dan jenis minuman lain yang telah berada di pasaran sejak tahun 2020.

Eksekutif Kanannya, Norrul Alimi Norrul Zaman berkata, syarikat bermula daripada pe­ringkat asas lagi dengan menyewa lot niaga untuk menjalankan perniagaan menghasilkan minuman kopi pracampur.

Menurut beliau, dana dalam bentuk geran yang disediakan kerajaan untuk membantu per­usahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti syarikat tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan perniagaan dari fasa ke fasa.

Rezeki di sebalik krisis kesihatan dan pandemik yang melanda negara empat tahun lalu rupanya memberi petunjuk baharu kepada syarikat untuk membeli sebuah lot tanah di lokasi strategik untuk membangunkan sebuah kilang pengeluaran produk minuman dengan pelbagai perisa yang bermutu tinggi serta lazat.

Bermula di situ, langkah syarikat semakin panjang, selain me­nguasai pasaran domestik, ia juga berjaya menembusi pasaran di luar negara khususnya di Asia Barat yang mana pelabur di negara berkenaan suka minum kopi pracampur keluaran syarikat.

“Kami mula mendapat pesa­nan produk kopi yang diinovasikan khusus untuk memenuhi selera masyarakat Arab dan sehingga kini kami masih memasarkan produk ke sana.

“Selain itu, kami juga aktif ­menyertai karnival dan pameran anjuran Matrade untuk mempromosikan produk tempatan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata kepada Kosmo! ketika ditemui di reruainya bersempena Program Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Per­dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini baru-baru ini.

Luxxure Legacy telah mendapat suntikan pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED-RCB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Rural Capital Berhad (RCB) bertindak sebagai ejen pelaksana.

Selain dana, penyertaan usahawan di bawah SPED-RCB di karnival terbesar itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan RCB untuk menyokong pembangunan usahawan luar bandar.

Melalui penyertaan tersebut juga, usahawan berpeluang mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas, terma­suk wakil-wakil agensi kerajaan, pelabur dan pengunjung awam.

Antara produk yang dikete­ngahkan usahawan-usahawan berkenaan adalah makanan tradisional, produk kecantikan tempatan, kraf tangan moden dan perkhidmatan berasaskan digital.

Keterlibatan aktif usahawan dalam program berimpak tinggi seperti MK3D akan menjadi pencetus kepada peningkatan kapasiti dan daya saing usahawan tempatan di pasaran nasio­nal dan global.

Norrul Alimi menjelaskan, penyertaan dalam MK3D 2025 bukan sahaja membuka peluang kepada syarikatnya memperluas jaringan perniagaan, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh jenama serta memupuk keyakinan dalam kala­ngan pengguna terhadap produk luar bandar.

Selain itu, beliau menerangkan, syarikat juga kini telah berjaya mengeksport produk kopi berasaskan durian kepada sebuah syarikat di Korea dan pengembangan ini mengukuhkan lagi pendapatan eksport untuk tempoh jangka panjang.

Tidak mahu berada dalam zon selesa dalam segmen tersebut, syarikat juga secara berperingkat turut menghasilkan produk lain seperti minuman teh yang lain daripada apa yang ditawarkan di pasaran semasa.

“Kami menggunakan buah kering sebagai asas minuman teh dan ia memberi kelainan kepada pelanggan khususnya kepada peminat minuman teh dengan tawaran sehingga empat perisa.

“Selain itu, kami juga menghasilkan produk kesihatan berupa produk penggantian makanan yang dijual dalam bentuk minuman berasaskan oat,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pelan pengembangan syarikat, Norrul Alimi berkata, syarikatsedang mengintai peluang untuk membuat pelaburan dalam bahagian pembungkusan dan penambahbaikan mesin pengeluaran bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang syarikat.

Katanya, inisiatif perlu bagi menampung keperluan tempahan yang diperoleh bukan sahaja daripada pelanggan sedia adanya di dalam negara serta luar negara tetapi juga daripada segmen ­khidmat OEM yang ditawarkan kepada syarikat lain.

“Kami telah mendapat pembiayaan daripada RCB melalui SPED pada akhir tahun lalu dan bersandarkan bimbingan, nasihat serta motivasi yang diberikan, kami lebih yakin untuk meneruskan kerjasama dengan RCB untuk meneruskan fasa pem­biayaan yang seterusnya.

“Segala proses berkaitan permohonan begitu lancar dan mudah, malah kakitangan RCB yang juga mesra peniaga membuatkan hubungan kerjasama itu begitu harmoni, pastinya kami akan menambah lagi pembiayaan untuk pengembangan syarikat pada masa depan,” ujarnya.

Selain itu, Norrul Alimi menjelaskan, syarikat yang memiliki kumpulan pasarannya tersendiri sehingga tidak memberi impak persaingan yang sengit dalam industri minuman sentiasa berinovasi untuk menghasilkan produk baharu.

“Kami mahu lari daripada produk biasa kopi yang ditawarkan di pasaran kerana terlalu ramai pemain dalam industri berkenaan, jadi kami menjadikan inspirasi makanan sebagai asas untuk mengolah menjadikan minuman kopi yang menyelerakan.

“Sebagai contoh, kami menjadikan menu kek seperti red velvet sebagai satu minuman yang menyelerakan, kopi cookies, kopi nanas dan banyak lagi idea untuk diketengahkan secara berperingkat,” terang beliau. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |