Lima pelajar mengaku salah tunggang motosikal secara bahaya, halang ambulans

6 hours ago 4

KUALA KANGSAR – Lima pelajar lelaki yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya serta menghalang laluan ambulans dalam kejadian dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kelima-lima pelajar berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu, lima pelajar terbabit didakwa menunggang motosikal dengan kelajuan berbahaya kepada orang awam di Kilometer 249, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada pukul 3.15 petang, 19 Oktober 2025.

Pertuduhan terhadap lima pelajar itu dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Januari 2026 sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak.

Kesemua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Menerusi laporan media semalam, kesemua suspek yang masih bersekolah itu diberkas di sekitar kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara pukul 3 petang hingga 9 malam pada Isnin.

Tangkapan ke atas mereka dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak susulan video tular aksi menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 19 Oktober sekitar pukul 3.15 petang ketika ambulans berkenaan sedang dalam perjalanan untuk memberi bantuan kemalangan di Kilometer 260 lebuh raya sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |