ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Takzim terus melangkah gagah memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas carta Liga Super apabila membelasah kelab Brunei, DPMM FC 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson da Silva muncul pemain paling cemerlang dengan meledakkan empat gol, masing-masing pada minit ke-9, 35, 36 dan 73.
Skuad bimbingan Xisco Munoz tampil garang sejak sepak mula dan langsung tidak memberi ruang kepada lawan dari Brunei itu. Seawal minit kesembilan, JDT membuka jaringan apabila hantaran lintang Arif Aiman Hanapi disambar Bergson yang menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Tersentak dengan jaringan itu, DPMM FC cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi rembatan deras Ramadhan Sananta, namun percubaannya sedikit tersasar melepasi palang gol.
Pada minit ke-32, JDT memperoleh sepakan penalti selepas Oscar Arribas dijatuhkan Syafiq Safiuddin Abd Sharif, yang kemudian dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.Bergson tidak mensia-siakan peluang untuk meledak gol kedua, sebelum melengkapkan hatrik empat minit kemudian hasil umpanan Afiq Fazail bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Menjelang visal penamat separuh masa pertama, Arribas turut mencetak nama sebagai penjaring apabila melakukan larian solo menewaskan dua pertahanan pelawat sebelum merembat leret menewaskan Haimie bagi meletakkan JDT selesa mendahului 4-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengganas apabila Manuel Hidalgo yang baru dimasukkan menambah jaringan kelima menerusi rembatan leret selepas menerima umpanan Romel Morales pada minit ke-50.
Gol sendiri Pengiran Yura Indera Putera Pengiran Yunos pada minit ke-63 menjadikan kedudukan 6-0 sebelum Arif Aiman akhirnya menjaringkan gol peribadi pada minit ke-68 hasil hantaran Morales, diikuti jaringan keempat Bergson pada minit ke-72 bagi melengkapkan pesta 8-0.
DPMM FC semakin longlai di hujung permainan apabila Jairo da Silva meledak gol kesembilan pada minit ke-81, sebelum Morales menutup malam gemilang JDT dengan tandukan cantik hasil hantaran Hidalgo pada minit ke-88 untuk melengkapkan kemenangan 10-0.
Dengan kemenangan itu, Harimau Selatan terus gah di tangga teratas liga dengan 24 mata hasil kemenangan bersih sepanjang lapan perlawanan setakat ini.-KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4





![[VIDEO] Lelaki dipercayai sakit mental meluru ke arah keluarga diraja Thailand](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Thai-Istana.jpg)











































