PETALING JAYA – Kelewatan syarikat pengendali mengemukakan permohonan permit kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) punca lima laluan bas berhenti-henti Smart Selangor dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) terjejas.
APAD dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima permohonan yang dikemukakan syarikat pengendali, iaitu SKS Coachbuilders Sdn. Bhd., pada 25 dan 26 April.
Katanya, sbanyak lima permohonan telah diterima daripada pihak SKS Coachbuilders dan kesemuanya diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP), kriteria serta syarat
kelulusan yang telah ditetapkan.
“Permohonan-permohonan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan (eJKP) pada 8 Mei 2025 dan telah diberikan Kelulusan Bersyarat.
“APAD ingin menegaskan bahawa permohonan tersebut telah siap diproses dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 14 hari bekerja, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Piagam Pelanggan APAD bagi permohonan baharu permit,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa kriteria dan syarat yang masih belum dipenuhi oleh
pemohon.
“Antaranya ketidakpatuhan bagi pemasangan Global Positioning System (GPS) dan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang belum dilesenkan.
“Justeru, permohonan tersebut telah diluluskan secara bersyarat pada 8 Mei dan pemohon
telah diberikan peluang untuk melengkapkan keperluan yang ditetapkan sebelum kelulusan penuh dapat diberikan,” katanya.
Terdahulu, tular mengenai bas berhenti-henti Smart Selangor yang terganggu di laluan SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05.
Difahamkan aktiviti harian penduduk dan pengguna di sekitar Subang Jaya telah terjejas akibat ketiadaan perkhidmatan bas di laluan-laluan berkenaan, sehingga memaksa mereka menggunakan alternatif pengangkutan lain yang menyebabkan peningkatan kos perjalanan. – KOSMO! ONLINE