‘Lepas tetak orang, kena jadi bijak pula’

19 hours ago 7

PERNAH muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem Ular,12 tahun lepas kemudian terkenal dengan naskhah-naskhah tangkap leleh, lelaki budiman paling mencairkan hati, kejam, panas baran sehinggalah gengster yang darahnya paling dikehendaki seperti dalam Blood Brothers: Bara Naga, semua itu menjenamakan Shukri Yahaya sebagai aktor versatil ketika ini.

Khalayak tahu lelaki dengan senyuman manis itu mampu menangis, tengking isteri, curang tanpa niat dan tetak orang tanpa belas, tapi pernah kalian melihat Shukri menjadi penyiasat dengan kemahiran analitis, teoritis bahkan punya intuisi tepat tentang sesuatu yang sukar menemukan pembuktian.

Karakter itulah akan dapat disaksikan dalam Balas Balik, sebuah filem penyiasatan jenayah menampilkan Shukri sebagai Detektif Zul ala dalam naskhah Sherlock Holmes.

“Betul, saya nampak watak Detektif Zul macam dalam cerita Sherlock Holmes tapi ‘look’ watak saya tidaklah begitu sangat,” katanya merendah diri.

Bukan naskhah aksi yang padat pertarungan hidup mati atau sensasi cinta yang serba-serbi membakar emosi, genre Balas Balik itu sendiri satu cabaran menguji kemampuan Shukri memuaskan hati khalayak di dalam panggung.

“Kalau sebelum ini orang benci atau tengok saya sebagai lelaki redflag, cabaran utama, saya kena jadi bijak ataupun buat-buat bijak.

“Orang kena percaya Detektif Zul itu saya dan saya ialah Detektif Zul yang ada sejenis deria keenam mengesan kebenaran dan jawapan dalam siasatannya,” ujar Shukri yang menjalani penggambaran Balas Balik sebelum Andai Itu Takdirnya dan Blood Brothers.

Menanyakan Shukri tentang pertembungan tayangan Balas Balik, bertukar sisi daripada gengster kepada penyiasat dan tayangan dua filem dalam satu tempoh memandangkan Blood Brader barangkali masih merajai panggung sehingga hujung bulan nanti, bapa sepasang cahaya mata itu sendiri menyimpan debar.

“Ini pun cabaran. Saya mohon orang tengok sebab cerita.

“Satu lagi ini satu kebetulan yang suspens. Surprise! Ini kejutan untuk peminat.

“Mungkin orang tak tahu tentang Balas Balik sebab kita shoot dua tahun lepas lagi.

“Tetapi bila nak keluar, saya tengah ada  ‘bara naga’ di panggung. Harap membantu, lepas puas jadi jahat, belasah orang,boleh tengok saya siasat punca orang mati pula,” katanya.

Seperkara lagi, Shukri berharap kemunculan wajahnya di layar perak ketika mampu menyumbang jurang skeptikal siapa muka televisyen dan siapa pula muka filem.

“Sebelum ini rasanya ada skeptikal itu, untuk saya, saya memang banyak berlakon drama sebab nak tunggu tawaran filem memang tiada.

“Cuma untuk pelakon drama macam saya dan lain-lain, kami juga berharap untuk dapat lebih banyak kepercayaan main filem, untuk pergi lebih jauh dan bawa impak lebih besar. Untuk penerbit dan pengarah lain, tolonglah eksplore pelakon drama untuk ke filem juga, kalau kena cara, kami boleh buat.

“Kalau drama,  kita semacam sudah ada ‘template’ tetapi filem lain, itu juga sebab kenapa saya berani sahut cabaran buat Balas Balik. Cerita dia lain, tak ada cinta-cinta konflik gaduh berebut wanita, masalah bisnes atau kalau mati, mati begitu saja.Bukan macam tu.

“Balas Balik ada benda yang orang tak pernah tengok saya buat. Kalau mati, kena tahu kenapa dan bagaimana. Dan cerita ni bukan tentang saya sahaja, banyak pelakon lain dengan masing-masing ada motif. saya kena siasat semua’” katanya.

Bekerja bawah arahan Feroz Kader dalam Balas Balik juga satu keberuntungan buat Shukri. Banyak kali berkolaborasi malah penglibatan awal dalam lakonan Shukri di layar kaca juga dari telunjuk Feroz.

“Saya rasa Feroz berani buat kelainan dan harap hasilnya mampu beri kepuasan kepada penonton. Drama arahan dia sebelum pun bagus ratingnya, harap filem ini ada impak,” jelas Shukri.

Selain Shukri, filem terbitan Shaibha Vision yang bakal menemui penonton bermula 29 Mei ini turut dibarisi pelakon seperti Tony Eusoff, Marissa Yasmin, Adam Lee, Isyariana, Zarul Umbrella, Meor Mohd dan Razman Mahayuddin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |