PETALING JAYA – Penggunaan batu bertungku yang sinonim dengan amalan tradisi masyarakat kampung diingatkan perlu dilakukan dengan kaedah betul dan selamat bagi mengelakkan kecederaan melecur, terutama dalam kalangan individu berisiko.
Perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook menjelaskan bahawa batu bertungku bukanlah amalan berunsur mistik, sebaliknya satu bentuk terapi haba tradisional yang sememangnya memberi kesan kepada tubuh.
“Dalam bahasa mudah, bertungku ialah versi tradisi kepada heat therapy (terapi haba). Haba membantu melancarkan aliran darah dan melegakan otot,” jelas PHM.
Menurut PHM, keberkesanan terapi haba turut disokong kajian saintifik terutama bagi merawat masalah otot dan sakit belakang.
“Kajian rawak terkawal (RCT) mendapati terapi haba tahap rendah yang digunakan selama beberapa jam mampu mengurangkan kesakitan serta membantu fungsi fizikal bagi kes sakit belakang akut.
“Selain itu, dalam situasi berkaitan bersalin, kajian dan ulasan sistematik mendapati penggunaan warm compress (bagi meredakan kesakitan) di kawasan ‘perineum’ semasa fasa bersalin boleh mengurangkan trauma ‘perineum’ serta kesakitan selepas bersalin dalam jangka pendek,” kata PHM.
Bagaimanapun, PHM menegaskan bahawa manfaat haba hanya diperoleh jika penggunaannya terkawal.
“Haba yang tidak terkawal boleh bertukar menjadi kecederaan. Terdapat laporan klinikal yang menunjukkan sentuhan haba panas dalam tempoh lama, termasuk botol air panas, boleh menyebabkan melecur dalaman tanpa disedari, terutama kepada pesakit diabetes atau individu yang mengalami kebas saraf,” tegasnya.
Sehubungan itu, PHM menyarankan orang ramai untuk mematuhi lima prinsip keselamatan ketika menggunakan batu bertungku, iaitu membalutnya dengan kain tebal dan tidak meletakkan secara terus pada kulit, memastikan suhu sederhana serta mengehadkan penggunaan selama 10 hingga 15 minit sebelum berehat.
Antara prinsip lain ditekankan PHM adalah tidak tidur dengan batu bertungku di atas badan serta mengelakkan penggunaan jika kulit kebas, luka atau mempunyai masalah sensasi.
PHM turut mengingatkan risiko kepada bayi sekiranya batu bertungku tidak disimpan dengan selamat di rumah.
“Bagi bayi, batu bertungku boleh kelihatan seperti mainan. Namun, haba yang tinggi boleh menyebabkan melecur dalam sekelip mata. Pastikan ia diletakkan di tempat tinggi, tidak ditinggalkan tanpa pemantauan dan disimpan hanya selepas benar-benar sejuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3













![[VIDEO] Laman rumah boleh buat sewa gelanggang badminton](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/kereta-halaman-parkir.jpeg)
![[VIDEO] Cemas kereta diserang tanah tebuan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/kereta-tebuan.jpeg)


































