SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengugut jirannya, seorang wanita warga emas dengan sepucuk pistol dalam pertengkaran di kawasan perumahan di Bandar Laguna Merbok di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita kira-kira pukul 8.45 pagi tadi memaklumkan dia diugut seorang lelaki bersenjatakan satu objek menyerupai pistol.
“Sepasukan anggota terus ke lokasi dan menahan suspek. Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut menemui satu objek menyerupai pistol dan peluru serta sejumlah dadah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek berusia lingkungan 30-an bertengkar dengan jirannya sebelum mengacukan sepucuk pistol.
“Kita masih menyiasat lanjut kes ini termasuk mengenai pemilikan senjata api tersebut, sama ada dia mempunyai lesen atau memilikinya secara haram,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, mangsa berusia 72 tahun yang enggan dikenali mendakwa, suspek secara tiba-tiba datang dan menendang pagar rumahnya.
“Dia datang ke rumah dan marah-marah. Waktu itu saya minum kopi di belakang. Dia tendang pintu pagar rumah dan apabila saya pergi ke depan, lelaki itu terus tunjuk pistol kepada saya.
“Saya terus telefon polis kerana takut apa-apa jadi sebelum sepasukan polis datang buat siasatan,” katanya.
Dakwanya, suspek sudah beberapa kali memarahinya dan dia tidak tahu punca kejadian.
“Beberapa tahun dulu saya pernah mengadu kepada ibunya kerana bunyi radio terlalu kuat. Saya tidak pernah memarahi suspek, sebaliknya hanya mengadu kepada ibunya.
“Selepas itu, suspek ada beberapa kali datang dan marah-marah, cuma hari ini saya terpaksa buat laporan polis kerana dia tunjuk pistol,” katanya yang telah menetap di situ sejak kira-kira 30 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4


















![[VIDEO] Sanggup berhujan bersih longkang elak tersumbat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/LONGKANG-TERSUMBAT-RIDER.jpeg)






























