
- Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
- 23 Oktober 2025, 9:47 pm
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki berusia 43 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kawasan rehat Tol Bandar Cassia, Batu Kawan di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.10 petang tadi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan dikejarkan ke lokasi kejadian dan terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios diletakkan berhampiran kawasan rehat tersebut.
“Kita membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan terbaring.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu operasi tamat pada pukul 6.16 petang tadi. -KOSMO! ONLINE