Lebih 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Mega I LINDUNG U 2025

9 hours ago 5

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyeru orang ramai untuk hadir memeriahkan Festival Mega I LINDUNG U 2025 yang bakal berlangsung selama tiga hari, bermula esok di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor.

Festival berskala besar itu dijangka menarik lebih 70,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian menarik, hadiah lumayan serta peluang menyemak, mendaftar dan memahami lebih dekat skim perlindungan sosial di bawah Perkeso.

Perkeso dalam kenyataan hari ini berkata, penganjuran festival ini bukan sekadar memfokuskankan kepada acara hiburan semata-mata. Namun sebaliknya ia merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjadikan perlindungan sosial sebagai sebahagian daripada gaya hidup sejahtera dan bertanggungjawab.

“Festival ini adalah platform rakyat untuk mengenali dan mendekati Perkeso secara lebih interaktif.

“Melalui pelbagai aktiviti, kami mahu setiap lapisan masyarakat sedar bahawa keselamatan sosial adalah hak dan keperluan asas demi masa depan mereka,” katanya.

Antara pengisian menarik festival termasuk sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi, serta ceramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.

Selain itu, pengunjung turut boleh menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian Perubatan dan Pemulihan Perkeso, serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional.

Pengunjung juga berpeluang menyertai senaman ‘Pound’ bersama personaliti kecergasan terkenal, Hanis, yang dijangka bakal mencuri tumpuan orang ramai.

Bagi majikan pula, Perkeso menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar sepanjang festival berlangsung bagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan caruman.

Dalam pada itu, festival ini juga menjadi destinasi terbaik buat pencari kerja dan graduan menerusi Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs, yang menawarkan hampir 1,000 jawatan kosong daripada syarikat-syarikat terkemuka.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai peringkat, termasuk untuk graduan baharu sehingga ke peringkat pengurusan dengan tawaran gaji sehingga RM10,000.

Menambah kemeriahan, pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti dekorasi kek tiramisu ‘LINDUNG Kasih”’ bual bicara ‘LINDUNG Pekerja’, pertandingan e-Sport ‘LINDUNG Kendiri’ perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh
Mawie Magic.

Bukan itu sahaja, festival ini menyediakan lebih 60 gerai jualan makanan, minuman dan produk komuniti, selain kaunter semakan caruman dan pendaftaran skim perlindungan Perkeso untuk kemudahan orang ramai.

Setiap malam, pentas utama bakal dihangatkan dengan Konsert I LINDUNG U menampilkan barisan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, Kartika, Kristal X dan Sofazr.

Sehubungan itu, Perkeso menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja hingga keluarga untuk hadir ke Festival Mega I LINDUNG U, yang berlangsung pukul 10 pagi hingga 10 malam.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |