LBS perkasa komuniti dengan pembinaan surau di Cameron Highland

7 hours ago 2

PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) melakar pencapaian baharu menerusi perasmian Surau Al-Amin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brinchang, Cameron Highlands, Pahang.

Majlis ini telah diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan merasmila majlis yang diiringi, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, penyempurnaan Surau Al-Amin bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi juga simbol perpaduan dan pemerkasaan kerohanian dalam komuniti.

“Kami amat berbesar hati atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Tengku Mahkota Pahang dalam majlis yang bersejarah ini.

“Surau ini bukan hanya tempat beribadat, tetapi juga pusat refleksi, hubungan silaturahim, dan kebersamaan.

“LBS berharap surau ini akan menjadi mercu tanda keteguhan dan kesejahteraan yang berpanjangan, memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang,” katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman serta Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim selain dif-dif kenamaan jemputan dari Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Surau Al-Amin di IPD Cameron Highlands diiringi Tengku Hassanal Ibrahim (tiga dari kanan) serta Wan Rosdy (dua dari kiri), Razarudin serta Yahaya (kanan) dan Daniel Lim (kiri). 

Difahamkan, surau ini terletak di (IPD) Cameron Centrum, Cameron Highlands, akan memberi manfaat kepada kira-kira 97,000 penduduk dan pengunjung dengan kemudahan sebuah rumah ibadat yang selesa dan serba lengkap.

Pembinaan surau ini dibiayai menerusi dana terbitan ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah oleh LBS yang mencerminkan komitmen Kumpulan dalam menyumbang impak positif kepada masyarakat.

ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah merupakan sebuah instrumen kewangan patuh syariah yang bertujuan menyokong inisiatif berorientasikan manfaat sosial, sejajar dengan matlamat LBS untuk pembangunan yang bertanggungjawab dan inklusif.

Bermula dari majlis pecah tanah pada 4 Mac tahun lalu, surau yang menelan belanja kira-kira RM5 juta ini berjaya disiapkan dalam tempoh dua tahun, menjadikannya satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan LBS untuk membangunkan komuniti yang holistik dan sejahtera.

Selain itu, LBS turut bermurah hati menaja majlis perasmian sebanyak RM100, 000 membuktikan komitmen kukuh yang menyokong inisiatif kemasyarakatan.

Berkeluasan 1,833 meter persegi dan seluas satu ekar, Surau Al-Amin mampu menampung 200 jemaah dan direka khas untuk memenuhi keperluan komuniti Muslim setempat serta pelancong.

Antara kemudahan yang disediakan adalah sebuah bilik audio visual untuk interaksi yang dinamik, bilik khas imam, ruang wuduk dan tandas berasingan bagi lelaki dan wanita selain laman terbuka untuk menggalakkan perhimpunan komuniti. 

Ia juga menyediakan bilik jenazah, bilik mesyuarat bagi perbincangan dan aktiviti masyarakat, dapur dan ruang makan yang lengkap serta kemudahan tempat letak van jenazah dan 62 petak parkir termasuk dua untuk Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk 15 petak motosikal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |