Lawak P13 Klepet tidak sampai tahap langgar sensitiviti

1 hour ago 1

INDUSTRI seni sentiasa terbuka menerima karya sutradara baharu sebagai langkah memperkasakan industri kreatif tempatan.

Setiap pengarah pastinya mahu karya mereka dihasilkan dengan baik tanpa ketirisan atau kesilapan yang boleh mengundang kecaman penonton.

Ruang sama turut diberikan kepada Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji dalam menghasilkan filem Klepet bagi menghiburkan pencinta seni.

Menurut Sanji, Klepet sudah melalui proses tapisan rapi termasuk menyunting kira-kira 35 minit dialog berunsur carutan yang dianggap keterlaluan sebelum menghantar karya terbabit kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Tindakan tersebut sekali gus melayakkan Klepet diklasifikasi untuk tontonan 13 tahun ke atas, namun Sanji tidak menafikan wujudnya jenaka tersirat bernuansa lucah dalam naskhahnya.

“Sebenarnya apa yang penonton dengar dalam filem ini semuanya sudah melalui kawalan ketat. Banyak yang saya terpaksa potong, lebih kurang 35 minit.

“Sebab itu jika anda perasan terdapat beberapa adegan ‘jump cut’. Bila dihantar ke LPF, mereka beri kita klasifikasi 13 tahun,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, tafsiran jenaka adalah subjektif dan bergantung kepada pemahaman penonton terhadap konteks yang disampaikan.

“Lawak ini subjektif. Ada yang tersirat, sebab itu kita dapat klasifikasi 13 tahun ke atas. Bergantung kepada cara mereka berfikir ada yang tidak faham, ada yang faham.

“Tapi apabila LPF lepaskan, itu bermakna kita tidak sampai ke tahap melanggar sensitiviti atau garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.

Komikal, animasi

Selain itu, Sanji yakin naskhah terbaharunya bakal memberikan pengalaman berbeza kepada penonton apabila menggabungkan elemen aksi dan komedi dengan pendekatan jarang digunakan dalam filem tempatan.

“Klepet menggabungkan pelbagai lapisan komedi daripada elemen komikal dan animasi hinggalah kepada lawak spontan yang disesuaikan mengikut babak.

“Pendekatan ini menjadikan Klepet tampil berbeza berbanding filem aksi komedi yang pernah dipertontonkan sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam soal pemilihan pelakon, Sanji menjelaskan semuanya sudah ditetapkan sejak peringkat awal penulisan skrip.

“Kita memang sudah sasarkan siapa barisan pelakon ketika hasilkan skrip.

“Memang saya tahu ketiga-tiga hero, mula-mula nak ambil untuk bawa filem komedi ini, rasa takut.

“Namun saya percaya, kalau letak keseimbangan seperti masukkan pelawak yang betul dan kita gabungkan dengan situasi, itu yang menjadikan sesebuah babak nampak hidup,” jelasnya.

Klepet mengisahkan tiga sekawan iaitu Paly, Jany dan Wany yang tinggal dalam sebuah ‘motorhome’ untuk mengembara.

Namun, perjalanan mereka bertukar huru-hara selepas kemunculan seorang gadis dari Ukraine. Naskhah menghiburkan itu ditayangkan di pawagam seluruh tanah air sejak 27 November lalu.

SANJI (tengah) yakin Klepet memberikan pengalaman baharu kepada penonton apabila menggabungkan elemen aksi dan komedi dengan pendekatan berbeza. – Foto ISKANDAR ISHAK

MESKI Klepet dikasifikasikan tontonan 13 tahun ke atas, Sanji akui masih ada jenaka ‘double meaning’ dalam naskhahnya.

KLEPET menggandingkan tiga jejaka, Nadhir, Aedy dan Meerqeen selaku hero.

Read Entire Article
Pertanian | | | |