IPOH – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi jaminan proses pelantikan status tetap 4,500 doktor kerajaan berbanding jawatan kontrak sebelum ini akan diselesaikan pada kadar segera.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, bagi memberi jaminan kepada kesemua warga kerajaan itu, pelantikan telah dimulakan menerusi lantikan secara interim (sementara) sebelum pelantikan tetap sepenuhnya.
“Pelantikan itu sebenarnya telah kita mulakan lebih awal melalui lantikan secara interim. Kini, kita telah melaksanakan pelantikan tetap bagi mereka jadi tidak timbul sebarang masalah dan proses lancar.
“Proses pelantikan ini juga akan diteruskan dan disegerakan sebaik mungkin seperti mana yang disarankan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Temu Duga SPA di UTC Perak yang telah dinaik taraf dengan kemudahan lebih selesa dan canggih kepada calon-calon penjawat awam dari seluruh negeri.
Katanya lagi, SPA baru-baru ini telah melaksanakan pelantikan tetap lebih 3,000 jururawat yang melibatkan lantikan baharu dan pengesahan jawatan bagi jururawat yang sebelum ini berstatus interim.
“Tiada tempoh perkhidmatan tetap ditetapkan, justeru mana-mana calon yang memenuhi syarat akan dilantik terus ke jawatan tetap tanpa sebarang halangan.
“Pelantikan sementara (interim) juga akan disusuli dengan pelantikan tetap setelah proses penilaian dan syarat-syarat lain di bawah SPA dipenuhi. Segala tuntutan berkaitan telah dan akan dipenuhi dan mereka yang layak akan menerima jawatan tetap,” katanya.
Ujarnya, kaedah pelantikan akan dikaji secara lebih terperinci bagi memastikan kelestarian perkhidmatan kesihatan awam dalam jangka panjang selaras dengan keperluan semasa dan dasar kerajaan.
Tambah beliau, pelaksanaan pelantikan tetap ini membuktikan komitmen kerajaan dan SPA bagi memastikan kebajikan serta kestabilan kerjaya penjawat awam khususnya dalam sektor kesihatan terus terjamin.
Media melaporkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, isu doktor kontrak terus diberi perhatian serius apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan.
Langkah itu ialah lanjutan usaha berterusan kerajaan sejak 2023 yang telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan dan menyerap sejumlah 12,900 doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap setakat ini. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] ASEAN ke-47: ‘Happy Birthday Presiden Brazil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-27-at-5.13.23-PM.jpeg)














































