KWSP perluas inisiatif untuk suri rumah dan pekerja p-hailing

19 hours ago 11

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dan penambahbaikan dasar bermula 1 Januari 2026 dalam usaha memperkukuh simpanan persaraan serta menyesuaikan perlindungan kewangan ahli.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, antara inisiatif utama ialah peningkatan ketara had pengeluaran haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 bagi membantu ahli menampung kos menunaikan ibadah haji yang semakin meningkat.

“Pengesahan baki dalam akaun simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran akan dimansuhkan, bagi mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli membuat perancangan haji dengan lebih baik, ujarnya.

Bagi golongan bekerja sendiri, KWSP memperkenalkan inisiatif baharu iaitu i-Saraan Plus khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh simpanan persaraan kumpulan tersebut.

“i-Saraan Plus menawarkan insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup sebanyak RM6,000,” katanya.

Dalam masa sama, KWSP turut memperluaskan perlindungan kepada suri rumah apabila umur kelayakan i-Suri dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun selaras dengan umur persaraan minimum negara.

Insentif padanan kerajaan bagi i-Suri akan diteruskan pada kadar 50 peratus caruman tahunan sehingga RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.

KWSP juga melaksanakan penyelarasan dasar Pengeluaran Melebihi RM1 Juta selaras dengan pengenalan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang menetapkan tahap simpanan asas, mencukupi dan dipertingkatkan.

Menerusi penyelarasan itu, ahli bawah 55 tahun dibenarkan mengeluarkan lebihan simpanan secara berperingkat bermula RM1.1 juta pada 2026, bagi memastikan keperluan persaraan asas kekal terpelihara.

Sebagai tambahan, penjenamaan semula kemudahan caruman sukarela turut diperkenalkan menerusi i-Simpan dan i-Topup bagi menggalakkan lebih ramai ahli menambah simpanan secara kendiri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |