ALOR SETAR – Kawalan ibu bapa yang lemah terhadap aktiviti anak terutama selepas waktu sekolah dan malam menjadi antara punca remaja terjebak kes rogol akibat hubungan suka sama suka.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, pengaruh media sosial dan internet turut menyumbang kepada pergaulan bebas tanpa batas agama serta budaya.
Katanya, ketiadaan pendidikan seks berasaskan nilai agama dan akhlak menyebabkan remaja gagal memahami batas aurat, maruah dan kesan undang-undang. “Selain itu, kurang penglibatan komuniti setempat seperti jiran, surau dan sekolah dalam memantau perilaku remaja juga menjadi faktor penyumbang,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai pendedahan polis Kedah bahawa 91 peratus kes rogol bawah umur berpunca daripada hubungan suka sama suka antara pelaku dan mangsa.
“Perkara ini menggambarkan krisis moral yang semakin meruncing. Suka sama suka tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalkan pergaulan bebas remaja bawah umur kerana ia tetap satu bentuk pelanggaran moral,” tegasnya.
Menurutnya, penyelesaian isu tersebut memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan keluarga, sekolah, komuniti, agensi agama dan polis.
Beliau mencadangkan pelaksanaan program ‘smart parenting’ di setiap daerah bagi mendidik ibu bapa mengenai pemantauan anak, keselamatan digital dan komunikasi berkesan.
Selain itu, katanya, pendidikan akhlak dan jati diri di sekolah perlu diperkukuh dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBKS dan jabatan agama, manakala rondaan bersama pihak sekolah, PIBG, komuniti dan polis boleh diadakan di hot spot remaja.
“Remaja juga digalakkan menyertai aktiviti berstruktur seperti sukan, kelab dan sukarelawan bagi mengisi masa lapang secara sihat serta mewujudkan kaunselor rakan sebaya di sekolah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
7






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































