KPM siasat kes guru marah murid secara ‘berjemaah’

1 week ago 19

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang menjalankan siasatan bagi satu kes yang tular mengenai yang dikepung dan dimarahi sekumpulan guru di hadapan khalayak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memantau perkara tersebut.

Katanya, warga pendidik perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial agar tidak menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.

“Rakaman yang ditularkan memberi impak besar terhadap masyakarat. Namun, perkara ini masih di dalam siasatan.

“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk beri tumpuan kepada isu ini supaya kita dapat terus mengingatkan semua tentang integriti dan etika guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, semua guru perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Standard Guru Malaysia 2.0 yang menekankan aspek integriti dan etika, selaras dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Tambahnya, garis panduan tersebut perlu sentiasa dijadikan panduan utama warga pendidik, bukan sahaja di dalam atau luar bilik darjah, malah ketika menggunakan media sosial.

“Walaupun warga pendidik mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan, ia perlu dilakukan secara beradab dan dalam saluran yang sesuai,” katanya.

Ujar Fadhlina, walau apa pun isunya, beliau yakin dan percaya bahawa ada ruang yang lebih selamat dan privasi untuk memastikan bahawa apa sahaja perbincangan dan isu itu dapat diselesaikan secara baik.

“Saya sentiasa mengingatkan guru-guru kita tentang integriti dan etika mereka, baik di dalam kelas, di luar kelas mahupun di media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |