KPKT laksana inisiatif ekonomi kitaran urus sisa pepejal

2 hours ago 1

KETIKA ini jumlah pelupusan sisa pepejal ke tapak pelupusan di Malaysia meningkat saban tahun dan ia menjadi satu isu yang perlu ditangani dengan segera.

Peningkatan sisa pepejal me­rangkumi sisa plastik yang mendapat perhatian serius bukan sahaja di Malaysia malah peringkat global.

Peningkatan ini berlaku seiring dengan pertambahan populasi negara, globalisasi dan perbandaran menyebabkan kadar janaan sisa pepejal juga turut bertambah sekali gus menyumbang kepada peningkatan pelupusan sisa pe­pejal ke tapak pelupusan.

Jumlah janaan sisa pepejal di Malaysia pada tahun 2023 adalah sebanyak 14.3 juta tan metrik, dan ia dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik pada tahun 2035.

Merujuk kepada aspek janaan sisa per kapita, kajian Survey on Solid Waste Composition, Characteristics Existing Practice of Solid Waste Recycling in Malaysia (2012) mendapati, setiap individu di negara ini menjana sebanyak 1.17 kilogram sisa sehari.

Penjanaan sisa pepejal di Malaysia ini selari dengan senario janaan sisa global yang meningkat saban tahun.

Berdasarkan laporan What a Waste 2.0 pada 2018 yang diterbitkan oleh Bank Dunia, janaan sisa global mencecah 2 bilion tan metrik pada tahun 2016 dan dijangka meningkat sebanyak 70 peratus kepada 3.4 bilion tan metrik menjelang tahun 2050.

Peningkatan penjanaan sisa pepejal ini sebenarnya memberi impak ke atas alam sekitar jika ia tidak ditangani dengan segera.

Penghasilan sisa pepejal terus meningkat saban tahun, seiring pertambahan jumlah populasi penduduk.

Menyedari akan impak tersebut, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk menambah baik kualiti pengurusan sisa pepejal negara dengan menyasarkan pengurangan sisa pepejal melalui pendekatan ekonomi kitaran, selari dengan komitmen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Peralihan untuk menerima guna ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal telah mula direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menyokong pertumbuhan hijau dan melonjakkan kemampanan.

Fokus untuk memperkukuhkan pelaksanaan ekonomi kitaran dan menambah baik pengurusan sisa diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui penambahbaikan dasar, kawal selia dan mekanisme pelaksanaan serta penyediaan infrastruktur moden.

Inisiatif ekonomi kitaran yang dilaksanakan menfokuskan kepada usaha pengurangan penjanaan sisa pepejal yang dapat membantu mengurangkan jumlah janaan sisa, seterusnya menurunkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sepertimana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memperkukuhkan peralihan ke arah ekonomi kitaran adalah dengan menyediakan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Malaysia untuk tahun 2025 sehingga 2035 sebagai hala tuju dan rujukan pembangunan ekonomi kitaran di negara ini.

Melalui visi Blueprint, Malaysia mencapai transformasi ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal yang memaksimumkan kecekapan sumber dan meminimumkan penjanaan sisa menjelang 2050, pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kesejahte­raan sosial dan kemampanan alam sekitar.

Blueprint ini juga menggariskan peranan agensi peneraju dan sokongan yang telah dikenalpasti dan pemangkin yang dapat mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran.

Inisiatif lain termasuk pelaksa­naan kajian kebolehlaksanaan rang undang-undang ekonomi kitaran bagi sisa pepejal yang me­rangkumi penggubalan draf Akta Ekonomi Kitaran bagi memboleh­kan pelaksanaan ekonomi kitaran bagi sisa pepejal yang menyeluruh di seluruh negara.

Selain itu, inisiatif membangunkan Kerangka Polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) bagi semua jenis sisa pembungkusan termasuk semua jenis kategori sisa pembungkusan plastik turut dilaksanakan.

Ini membolehkan pengeluar turut memikul tanggungjawab untuk menguruskan sisa produk pasca pengguna, yang mana ianya akan mengurangkan janaan sisa dan beban kewangan kerajaan.

Sementara itu, KPKT akan terus komited untuk memastikan setiap pelan tindakan ekonomi kitaran dilaksanakan secara teratur dan dipantau melalui Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal (NCEC).

NCEC merupakan platform nasional yang dipengerusikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ia turut dianggotai oleh wakil pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Negeri, badan swasta, ahli akademik dan persatuan.

Dalam masa yang sama, NCEC berperanan untuk menetapkan dasar, mengkoordinasi, serta memantau strategi dan inisiatif ekonomi kitaran bagi sisa pepejal.

Inisiatif tambahan meliputi, Kempen No Single-Use Plastic Carrier Bags bagi sektor peruncitan pada 26 September 2024 dengan kerjasama 20 wakil kedai serbaneka.

Projek itu melibatkan sebanyak 7,601 rantaian kedai runcit di seluruh negara.
Inisiatif kempen ini adalah usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghindari penggunaan beg plastik jinjit sekali guna bagi menuju kehidupan yang lebih lestari.

Secara kesimpulannya, KPKT akan terus memperkukuh dan memastikan pelaksanaan pengurusan sisa pepejal, termasuk sisa plastik demi kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, NCEC kali ketiga pada 9 Mei 2025 telah bersetuju agar semua kompleks membeli belah diwajibkan untuk menyediakan kemudahan pusat kitar semula atau drive-through recycling centre (DTRC) sebagai syarat lesen premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.

Terkini, Dewan Negara Parlimen telah meluluskan pindaan Rang Undang Undang (RUU) bagi pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Akta Kerajaan Tempatan 1971 [Akta 171] dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] untuk membolehkan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat bagi ke­salahan pembuangan sampah kecil.

Perintah khidmat masyarakat ini adalah pelengkap kepada pelbagai inisiatif pemulihan alam sekitar yang telah dijalankan oleh kerajaan dan komuniti.

Ia berfungsi untuk mendidik individu yang membuang sampah kecil, di samping menyokong usaha kebersihan awam. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |