KPDN senaraikan 14 barangan kawalan sempena Krismas 2025

4 hours ago 4
Armizan pada sidang media selepas melancarkan SHMMP Krismas 2025 di Papar, hari ini.
  • Oleh IVAN AMIRUL
  • 20 Disember 2025, 2:50 pm

‎PAPAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas
‎2025.

‎Berkuat kuasa dari 23 hingga 27 Disember 2025, tempoh pelaksanaan ialah selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.

‎Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara barangan berkenaan termasuklah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis ‎Beijing).
‎”Selain itu barangan lain yang turut terdapat di dalam senarai ialah ‎lobak merah (China), tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import (China), kepak ayam, ayam tua hidup (Sarawak sahaja), babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak),” katanya pada sidang media selepas pelancaran SHMMP Krismas 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, ‎tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 kali ini bersesuaian ‎mengikut keadaan semasa dengan mengambil kira pertimbangan agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak ‎tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

‎”Selain faktor-faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca ‎dan kadar upah, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan ‎tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ‎(KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri.

‎”KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan ‎skim,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |