Kestabilan institusi Raja lebih penting daripada politik Perlis – Dr. Maza

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Krisis politik yang melanda Perlis ketika ini dilihat tidak begitu menggusarkan rakyat negeri itu selagi institusi Raja terus berfungsi seperti biasa dan memainkan peranan aktif menjaga kebajikan rakyat.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, suasana politik di Perlis tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan negeri lain kerana ia dibentuk oleh budaya serta hubungan rapat antara Istana dan rakyat.

Menurut beliau, walaupun terdapat berita mengenai penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri, pemecatan pemimpin serta peletakan jawatan Menteri Besar, majoriti rakyat Perlis dilihat tenang dan tidak menganggap situasi itu sebagai satu kegawatan besar.

“Bagi kebanyakan rakyat Perlis, selagi Istana Perlis berfungsi seperti biasa, perubahan kerajaan atau ahli politik tidak terlalu meresahkan mereka,” katanya.

Dr. Mohd Asri menjelaskan, antara faktor utama yang membentuk kestabilan emosi rakyat Perlis ialah peranan institusi Raja yang dekat dengan denyut nadi kehidupan rakyat, hidup sederhana serta tidak dikaitkan dengan kemewahan melampau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Raja Muda Perlis yang disifatkan sebagai faktor penting dalam mencorakkan wajah negeri itu hari ini, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

Katanya, melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pelbagai usaha turun padang dilaksanakan secara konsisten bagi membantu rakyat yang memerlukan.

“Keprihatinan Raja dan Raja Muda Perlis terhadap hal ehwal rakyat, termasuk perkara kecil, memberi rasa selamat dan keyakinan kepada rakyat bahawa kebajikan mereka tetap terbela,” ujarnya.

Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan rakyat Perlis lebih menaruh harapan kepada kestabilan institusi Raja berbanding pergolakan politik semasa.

“Jika sebuah kerajaan yang berwawasan dapat bergerak seiring dengan Istana yang bertanggungjawab, Perlis berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam pelbagai aspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |