Kesan baju Muhammad Zaharif tak sama dengan tekapan tayar Ativa

3 weeks ago 35

IPOH – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kesan tekapan bercorak pada baju T dan seluar panjang dipakai pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, pada hari kejadian perlanggaran tidak sepadan dengan tekapan bunga tayar pada Perodua Ativa.

Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S. Dasarathan memberitahu, dapatan tersebut diperoleh menerusi analisa forensik kriminalistik oleh Jabatan Kimia ke atas kesan tekapan pada keempat-empat bunga tayar kereta berkenaan.

Bagaimanapun, kesan-kesan lain yang terdapat pada mangsa pelanggaran itu konsisten dengan kesan geseran pada permukaan keras dan kasar.

“Kesan geseran dan koyakan pada baju T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas dan kasut (Muhammad Zaharif) adalah konsisten bergeser dengan permukaan yang keras dan kasar,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Hakim atuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Dasarathan berkata, berdasarkan tekapan tayar yang dianalisa, didapati kesan tekapan bercorak pada pakaian mangsa adalah tidak sepadan dengan kesan tekapan tayar kedua-dua kenderaan terlibat.

Menurut Dasarathan, hasil analisa forensik toksikologi terhadap spesimen darah mangsa dan suspek juga mendapati tiada kewujudan etil alkohol mahupun dadah.

Katanya, hasil analisa forensik kriminalistik terhadap kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif pula mendapati kepingan cat asing daripada motosikal adalah serupa dengan spesimen cat putih daripada kereta.

Tambahnya, palitan bahan asing hitam daripada kereta juga serupa dengan spesimen plastik hitam daripada motosikal selain kepingan bahan asing hitam daripada kereta serupa dengan spesimen getah tayar belakang daripada motosikal.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui.

Pihak peguam bela pula dibarisi M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman manakala peguam pemerhati dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Syaheera Rosli. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |