Kes tikam di sekolah: Pelajar lelaki didakwa membunuh

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Pelajar lelaki yang menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan pesalah juvana berusia 14 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun semasa prosiding, pertuduhan terhadap tertuduh dibuat secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama, Damansara di sini antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 November ini bagi sebutan semula kes.

Semalam Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya memaklumkan selepas
meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan jasad pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya selamat disemadikan.

Mendiang disemadikan secara pembakaran di Krematorium Nirvana Shah Alam.

Terdahulu Kosmo! melaporkan polis telah menahan supek yang juga seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah terbabit sekitar pukul 9.30 pagi.

Sejurus selepas kejadian itu, keluarga mangsa dalam satu sidang akhbarnya mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan remaja perempuan tersebut yang ditemui mati dalam tandas di sekolah itu.

Ibu mangsa, berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |