Kerugian lebih RM30 juta akibat banjir di Kelantan

1 month ago 42

TUMPAT – Kerajaan negeri Kelantan mengalami kerugian mencecah lebih RM30 juta melibatkan semua infrastruktur termasuk jalan dan sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, jumlah tersebut masih diperingkat awal dan kerajaan negeri masih mendapatkan perincian sebenar berkaitan kerugian akibat banjir.

Menurutnya, nilai kerugian itu melibatkan sebanyak 18 jalan Persekutuan dan 12 jalan negeri yang rosak akibat banjir gelombang pertama.

Wan Roslan (tengah) merasmikan pelepasan konvoi pada Majlis Penerimaan dan Penyerahan Bantuan Banjir FGV Berhad di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh, Tumpat hari ini. – Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

“Selain itu, saya turut dimaklumkan sebanyak hampir enam sekolah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat tenggelam semasa banjir.

“Ada juga sekolah YIK yang tenggelam sehingga paras setingkat bangunan iaitu di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nurul Huda di Kajang Sebidang, Tumpat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerimaan dan Pengagihan Bantuan Banjir Felda Golden Ventures (FGV) Berhad di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Roslan memberitahu, kesemua 27,003 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan hadir dan menduduki ujian lisan baru-baru ini.

Menurutnya, seramai 3,056 calon SPM di Kelantan terjejas banjir termasuk 207 pelajar dari sekolah di bawah YIK. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |