BANGKOK – Industri pelancongan Songkhla dijangka mengalami kerugian sehingga lebih 7 bilion baht (RM906 juta) selepas banjir besar memusnahkan bandar Hatyai dan daerah-daerah sekitarnya, lapor laman berita Thai PBS World.
Presiden Persatuan Hotel Hatyai–Songkhla, Sitthipong Sitthiphatprapa berkata, banjir itu menyebabkan acara Sukan SEA yang bakal berlangsung dipindahkan ke Bangkok dari Songkhla.
Sitthipong berkata, bencana itu telah meningkatkan krisis sektor pelancongan kerana lebih 10,000 pelancong terperangkap semasa banjir bulan lalu.
“Kerugian hasil pelancongan dijangka melebihi 7 bilion baht. Jika pemulihan tertangguh hingga Januari atau Februari tahun depan, jumlah kerosakan boleh mencapai 10 bilion baht (RM1.3 bilion), tidak termasuk anggaran 3 bilion baht (RM338 juta) untuk kos pembaikan perniagaan hotel,” kata Sitthipong.
Banjir meluas yang bermula pada hujung bulan lalu di Hatyai telah menyebabkan kerosakan besar kepada sejumlah rumah, premis perniagaan dan infrastruktur pelancongan, dengan sebahagian penduduk masih tidak dapat kembali ke kediaman mereka.
Sitthipong menambah, Kementerian Dalam Negeri telah menghubungi pihaknya dan bertanya sama ada hotel-hotel boleh menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal buat sementara waktu.
Beliau berkata, hanya 20 daripada lebih 300 hotel di Hatyai dan Songkhla kini boleh beroperasi kerana sebahagian besar masih dinaiki air atau sedang dalam proses pembaikan.
“Kebanyakan bilik sudah ditempah oleh agensi bantuan dan pasukan kecemasan,” katanya sambil menambah, pemulihan penuh bagi kebanyakan hotel mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan.
Pengusaha hotel turut bersedia mengemukakan cadangan bagi menggesa kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah bantuan seperti moratorium hutang, pinjaman pemulihan faedah rendah dan penggantungan sementara pembayaran cukai tanah, yang perlu dibayar awal tahun depan. – AGENSI

1 hour ago
1









![[VIDEO] ‘Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-03-at-10.49.31-AM.jpeg)







































