Kerajaan perkukuh TVET, tangani kekurangan tenaga mahir sektor pembinaan

7 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Sektor pembinaan negara kini diakui berdepan kekurangan tenaga mahir, namun langkah proaktif sedang diambil bagi menangani isu tersebut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kekurangan tersebut diatasi melalui pelaksanaan dan penyelarasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut beliau, kerajaan menerusi usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Pengerusi Majlis TVET Negara telah menggerakkan usaha menyeluruh bagi memperkasakan program tersebut.

“Memang ada dasar tertentu untuk kita atasi kekurangan kemahiran ini di masa akan datang.

“Program TVET kini diperkukuh, di mana Timbalan Perdana Menteri sendiri mengetuai inisiatif ini untuk menyeragamkan pelaksanaan antara agensi supaya lebih terarah dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW), di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini hari ini.

Nanta berkata, bagi pihak KKR, program TVET dilaksanakan di beberapa agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menambah tenaga kerja mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan.

“Ini langkah yang jelas dan berkesan untuk kita tangani masalah kekurangan tenaga mahir pada masa depan.

“Kita juga terus galakkan anak muda di universiti untuk menceburi bidang kejuruteraan dan teknikal supaya industri pembinaan negara tidak terjejas dengan kekurangan tenaga kerja mahir,” jelasnya.

Nanta sebelum ini dalam ucapannya berkata, di Asia, kekurangan tenaga mahir, peningkatan kos bahan dan tekanan iklim menjadi cabaran utama buat industri pembinaan.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun lebih 70 peratus pemaju melaporkan kenaikan kos operasi dan 60 peratus berdepan kekangan tenaga kerja serta bahan binaan, sektor pembinaan Malaysia kekal kukuh dan menjadi tunjang pelaburan domestik.

Sementara itu, dalam majlis perasmian hari ini, Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor pembinaan serantau menerusi penganjuran ICW dan BuildXpo 2025.

Acara selama tiga hari itu menampilkan lebih 350 reruai pameran daripada 200 syarikat melibatkan 10 negara, sekali gus menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Turut hadir lebih 1,000 delegasi dari negara ASEAN, China, dan Timur Tengah, termasuk wakil kerajaan, akademia dan sektor swasta.

Nanta berkata, tahun ini ICW berlangsung pada detik yang cukup penting iaitu ketika Malaysia memegang kerusi Pengerusi ASEAN 2025.

“ICW 2025 menjadi wadah penting untuk perbincangan dan kerjasama antara profesional, pembuat dasar dan inovator.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada CIDB Malaysia, Qube Integrated Malaysia serta semua rakan kerjasama atas penganjuran ICW & BuildXpo 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |