Kerajaan hormat keputusan mahkamah Sabah, akan teliti alasan penghakiman

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Sabah pada 17 Oktober lalu berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani menghormati proses perundangan tersebut dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah.

Ujar Perdana Menteri, sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.

“Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lain mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.

“Keputusan (Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu) ini tentu diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan dan yang ‘memusykilkan’, keputusan itu telah mengundang tafsiran yang mengelirukan.

“Seolah-olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutuan ini dan sebelumnya yang disertai YB (Ahli Parlimen) Pembangkang hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membantah sesi penerangan khas tersebut kerana didakwa boleh menyebabkan subjudis memandangkan Kerajaan Persekutuan masih boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu adalah keputusannya dan beliau membenarkan Perdana Menteri memberi penerangan khas berkenaan tanpa melibatkan isu yang dibangkitkan oleh Takiyuddin.

Perdana Menteri menjelaskan, tiada kenyataan beliau yang bercanggah dengan keputusan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sambil menegaskan hal tersebut turut melibatkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang dianggotai Ahli Parlimen pembangkang.

Mengulas lanjut, Anwar menerangkan, kerangka besar komitmen Kerajaan Madani kepada pembangunan Sabah termasuk dalam menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Menurut beliau, Kerajaan Madani telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu
berkaitan MA63 dan sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah pun diselesaikan.

Tambah beliau, pemberian khas Persekutuan kepada Sabah pula telah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan untuk menampung kos perkhidmatan di Sabah.

Beliau berkata, kajian semula itu meliputi tempoh lima tahun dan pewartaan kajian semula telah dibentangkan ke Parlimen.

Selain itu, kata Perdana Menteri, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah terus meningkat meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan pembangunan.

Anwar turut membangkitkan tentang Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah untuk manfaat rakyat Sabah.

“Kerajaan Madani telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar pemberian khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |