Keputusan rayuan saman Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan belum diputuskan

18 hours ago 8

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti, akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.

“Kita memerlukan masa untuk meneliti,” kata Hakim Azimah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.

Semasa prosiding, Hannah selaku perayu diwakili peguam-peguam Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S.Aambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Hannah memfailkan rayuan pada 26 Disember tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember tahun sama menolak saman fitnahnya terhadap Musa.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.

Semasa memutuskan keputusan itu, dapatan mahkamah adalah majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan yang munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisan Hannah dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.

“Kenyataan itu dibuat pada forum yang membincangkan isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas ketua polis negara mengenai ancaman keselamatan yang dirasakan dan tiada bukti sebarang niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara.

“Defendan hanyalah penceramah jemputan tanpa mengetahui forum akan disiarkan dan hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujungnya. Dia tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan (kenyataan) itu,” katanya.

Justeru dengan keputusan itu mahkamah memerintahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.

Menerusi saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.

Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey. untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia, dan meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |