REMBAU – Perjalanan sepasang suami isteri untuk membeli kelengkapan tambahan sebelum berlepas ke Shanghai berakhir dengan tragedi apabila mereka maut dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 11.5, Lebuhraya Seremban-Port Dickson Highway arah Seremban di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, Chok Woon Keong, 65, yang juga pesara dan isterinya, Yong Foong Ting, 67, dari Lukut Jaya meninggal dunia di lokasi akibat parah pada kepala.
Menurut menantu mangsa, Chiak Wei Liang, 32, ketika kejadian, dia dan keluarganya sudah tiba di sebuah pasar raya di Seremban untuk membeli pakaian sebelum berlepas ke luar negara petang esok.
“Saya hubungi bapa mentua kira-kira 20 hingga 30 kali selama setengah jam tetapi tidak berjawab. Biasanya dia jawab (panggilan). Selepas itu saya periksa telefon bimbit ada kemalangan.
“Saya mula berasa tidak sedap hati lalu menyuruh anak buah lelaki pergi ke lokasi untuk melihat mangsa kemalangan tersebut. Bila anak saudara sampai (di lokasi), baru kami tahu bapa dan ibu mentua maut,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, di sini hari ini.
Katanya, mereka sudah lama tidak bercuti ke luar negara dan perancangan ke Shanghai melibatkan 17 ahli keluarga itu sudah lama dirancang.
Wei Liang berkata, biasanya dia akan membawa ibu bapa mentuanya menaiki kenderaan sekiranya mereka mahu pergi ke lokasi jauh, namun pada malam kejadian lelaki itu mahu menunggang motosikal yang dibelinya kira-kira dua bulan lalu.
“Jadi, kami bertolak secara berasingan. Tak sangka pula jagi begini lebih-lebih lagi lokasi tersebut kerap berlaku kemalangan,” katanya sambil memohon pihak berkaitan supaya mengambil tindakan pencahayaan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, nahas melibatkan sebuah motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah kereta dan sebuah van. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5

















































