Kelab kerdil sekolah JEPS Venom juara MYL Putrajaya 2025

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Pernah dibelasah 0-20 pada tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada JEPS Venom yang melakar pencapaian luar biasa untuk menjuarai Kumpulan B Liga Remaja Malaysia (MYL) 2025 bagi peringkat umur bawah 12 tahun (B12).

Kejayaan bersejarah itu secara tidak langsung melayakkan mereka ke pentas Final Kebangsaan (Grand Finale) MYL 2025 di Johor pada 20 hingga 23 November ini dengan sasaran menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

Disiplin dan kerjasama antara pemain dengan jurulatih menjadi dua teras utama kejayaan JEPS Venom mencatat 11 kemenangan bersih sepanjang 11 minggu MYL Putrajaya 2025 bertempat di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PENJAGA gol JEPS Venom, Muhammad Hamza Rakin Muhammad Razlan antara watak penting mengemudi gawang pasukan mencatat 11 kemenangan MYL Putrajaya 2025. – MUHAMMAD SYAZWAN SALL/PHOTOGRAPH BY SYAZWAN

Jurulatih JEPS Venom, Muhammad Alfiq Azli menganggap dua elemen berkenaan selain sikap tidak berputus asa dan terus berusaha menjadi rahsia kejayaan pemain-pemain daripada kelab bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi itu.

“Saya menerapkan disiplin yang tinggi kepada anak-anak dalam dan luar latihan. Disiplin bukan sahaja dibentuk sebagai pemain bola sepak tetapi menjadi insaniah yang mempunyai akhlak dan adab baik dalam kehidupan.

“Jurulatih perlu menjadi contoh yang baik kerana mereka masih kecil dan sentiasa memerlukan bimbingan kita sebagai orang dewasa. Keduanya adalah kerjasama sebagai ayah dan anak.

PEMAIN-PEMAIN JEPS Venom meniru gaya jaringan penyerang sensasi Arsenal, Viktor Gyokeres. – MUHAMMAD SYAZWAN SALL/PHOTOGRAPH BY SYAZWAN

“Sebagai jurulatih, saya perlu memahami karakter, mencari kekuatan dan perbaiki kelemahan setiap pemain. Kerjasama ini dibentuk dengan mempunyai hubungan yang baik, sentiasa menjadi pendengar dan membuatkan mereka rasa selesa,” katanya.

Dalam masa sama, Alfiq sentiasa mengingatkan pemainnya bahawa bola sepak mengajar pelbagai perkara berkaitan kehidupan dalam usahanya mendidik mereka menjadi insan yang lebih cekal dan kuat pada masa hadapan.

“Saya selalu samakan bola sepak dengan kehidupan. Sewaktu bertahan mengajar untuk bersabar, sewaktu menyerang mengajar kita supaya berusaha mencapai matlamat.

ILMAN (kiri) antara pemain yang mempunyai potensi besar untuk menyinar pada masa hadapan. – MUHAMMAD SYAZWAN SALL/PHOTOGRAPH BY SYAZWAN

“Latihan mengajar kita supaya lebih disiplin dan kekalahan mengajar erti tidak putus asa. Dengan bola sepak mengajar dan mendidik menjadi insan yang lebih cekal dan kuat,” jelasnya.

Menariknya, pasukan ‘adik’, JEPS Vamos B10 bimbingan jurulatih Norafidah juga layak merit ke grand final di Johor bulan depan selepas muncul naib juara terbaik untuk mewakili Putrajaya.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan JEPS Soccer terutamanya Guru Besar SK Jalan Empat, Mohd. Sabri Mohamad, pihak pengurusan yang diketuai Puan Dayang dan barisan jurulatih yang sentiasa berikan sokongan serta dorongan supaya kelab ini berjaya,” tambah Alfiq. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |