PETALING JAYA – Hanya berkemeja dan berseluar hitam, pelakon dan penyanyi Bella Astillah memohon maaf tidak mengikut kod pemakaian yang bersesuaian semasa menerima Anugerah Ikon Ibu Muda bersempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025, semalam.
Kesal dengan tindakan tersebut, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, bagaimanapun memberitahu tidak dimaklumkan tentang etika pemakaian lebih awal.
“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati sekiranya penampilan saya menimbulkan rasa kurang selesa.
“Saya dan pasukan saya tidak dimaklumkan mengenai kod pakaian. Sekiranya kami tahu, saya pasti akan berpakaian dengan lebih sesuai.
“Saya memang sangat mementingkan penampilan diri dan perkara ini turut mengecewakan saya. Maafkan saya,” katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, pelantun lagu Tapi Bukan Denganmu itu menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan walaupun merasakan individu lain lebih layak menerima penghormatan terbabit.
“Alhamdulillah, saya benar-benar berbesar hati menerima Anugerah Ikon Ibu Muda 2025. Sejujurnya, saya rasa ramai lagi yang lebih layak, tetapi saya percaya ini adalah rezeki daripada-Nya.
“Syukur alhamdulillah, saya amat bersyukur. Apa pun, terima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan.
“Saya masih dalam proses belajar, membesar dan meniti setiap langkah dengan penuh rasa rendah diri. Selamat Hari Ibu!,” jelasnya.
Semalam, Bella menjadi penerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Penganugerahan tersebut disampaikan isteri kepada Yang Di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin dan disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Nancy Shukri dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag. -KOSMO! ONLINE