KOTA BHARU – Sumber elektrik termasuk litar pintas dikenal pasti menjadi punca tertinggi kepada kejadian kebakaran yang berlaku di Kelantan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, nyalaan kebakaran berpunca daripada sumber elektrik merekodkan sebanyak 634 kes daripada 821 kes kebakaran yang disiasat di Kelantan sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, jumlah tersebut amat membimbangkan dan pihaknya akan terus meningkatkan kempen keselamatan kebakaran dengan memberi fokus kepada penggunaan elektrik yang selamat.
“Elektrik adalah sumber nyalaan tertinggi bagi kes kebakaran di negeri ini iaitu sebanyak 77 peratus iaitu 537 kes pada 2023 dan 634 kes pada tahun lalu.
“Kami menasihatkan orang awam supaya sentiasa menyemak sistem pendawaian di kediaman masing-masing, khususnya bagi pendawaian yang berusia lebih 10 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Tunjong di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Farhan Sufyan memberitahu, JBPM Kelantan menerima empat unit pam air berkapasiti tinggi sebagai persediaan untuk menghadapi musim jerebu dan kejadian kebakaran terbuka.
Menurutnya, pam air yang diterima pada hujung tahun lalu itu akan membantu memperkukuhkan keupayaan operasi pemadaman di kawasan yang dikenal pasti sering terlibat dalam kebakaran terbuka setiap tahun.
“Pam tersebut direka khusus untuk operasi kebakaran hutan termasuk tanah gambut yang memerlukan bekalan air dalam kuantiti besar dan bertekanan tinggi.
“Empat unit pam air berkapasiti tinggi itu ditempatkan di empat balai utama yang mencatatkan jumlah panggilan kebakaran terbuka tertinggi iaitu di Bachok, Tunjong, Pasir Puteh dan Tanah Merah,” katanya. – KOSMO! ONLINE