‘Keadaan masih sama, 12 rakyat kita tak dibenarkan lolos ke Thailand’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Nasib 12 rakyat Malaysia yang dilaporkan terperangkap lebih 12 hari di tebing Sungai Moi berhampiran sempadan Mae Sot, Thailand, masih belum menemui jalan penyelesaian apabila mereka terus tidak dibenarkan memasuki Thailand.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini tiada perkembangan baharu diperoleh berhubung usaha membawa keluar kumpulan tersebut ke kawasan selamat.

Beliau berkata, pihak berkuasa sempadan Thailand masih belum memberikan kebenaran kepada mangsa untuk memasuki negara itu, sekali gus menjejaskan proses menyelamat.
“Keadaan masih sama. Mereka masih tidak dibenarkan masuk ke Thailand dan sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak Kedutaan Myanmar atau Thailand,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, halangan utama dalam usaha membawa pulang kesemua mangsa adalah keputusan pihak berkuasa sempadan Thailand yang enggan membenarkan kemasukan, namun tidak memberikan sebarang alasan rasmi.

“Setakat ini kami tidak dimaklumkan sebab mengapa mereka tidak dibenarkan masuk. Perkara ini menjadi cabaran besar kerana melibatkan aspek keselamatan dan kebajikan mangsa yang berada di kawasan sempadan,” katanya.

Beliau berkata, MHO akan terus menjalankan libat urus dengan semua pihak berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa, bagi memastikan keselamatan kesemua mangsa serta mencari jalan terbaik untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 12 rakyat Malaysia yang berjaya meloloskan diri dari sebuah pusat sindiket penipuan di Sunda, Myanmar kini dilaporkan terkandas di tebing Sungai Moi berhampiran sempadan Mae Sot, Thailand sejak lebih 10 hari lalu.

Hishamuddin dilapor berkata, kesemua mereka berada dalam keadaan amat kritikal selepas diusir berikutan pertempuran antara kumpulan bersenjata di kawasan terbabit.

Mereka kemudian terpaksa berlindung di tepi sungai dalam cuaca sejuk antara 13 hingga 17 darjah Celsius tanpa bekalan makanan mencukupi.

Katanya, kumpulan itu berkali-kali cuba menyeberangi sungai untuk memasuki Thailand bagi mendapatkan perlindungan, namun dihalang pihak tentera negara itu. Dalam beberapa percubaan, anggota tentera didakwa melepaskan beberapa das tembakan amaran selain mengarahkan mangsa kembali ke tebing sungai. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |