KBS setuju lanjut kontrak MotoGP

3 hours ago 4

MASA depan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini bergantung sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan (MOF) biarpun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk melanjutkan kontrak penganjurannya.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya perlu membentangkan justifikasi dan data pulangan ekonomi yang kukuh bagi meyakinkan MOF bahawa perbelanjaan acara permotoran berprestij dunia itu adalah satu pelaburan berbaloi untuk negara.

Menurutnya, pertemuan bersama wakil penganjur MotoGP, Dorna Sports telah diadakan bagi menyatakan hasrat kerajaan, namun kelulusan akhir tetap memerlukan bukti yang meyakinkan.

“Saya telah berjumpa dengan Dorna dan menyatakan hasrat kerajaan untuk memperbaharui kontrak. Tetapi Kementerian Kewangan selalunya mahu data untuk yakinkan mereka bahawa perbelanjaan ini tidak membazir dan mendatangkan pulangan ekonomi kepada Malaysia.

“Penganjuran MotoGP juga telah menjana peluang pekerjaan kerana tahun lepas hampir 4,000 orang mendapat peluang pekerjaan, manakala jualan tiket tahun ini melebihi 90 peratus dengan peningkatan kehadiran pelancong,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Naik Taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru hari ini.

Sebagai rekod, kontrak semasa MotoGP di Malaysia akan berakhir pada 2026 dan penganjuran Grand Prix (GP) Malaysia berjaya menarik lebih 190,977 penonton sepanjang tiga hari.

Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan visi jangka panjang untuk membangunkan SIC sebagai hab sukan permotoran yang lebih menyeluruh, bukan sekadar sebuah litar perlumbaan.

“Saya nyatakan potensi Litar Sepang yang mempunyai tanah-tanah di sekelilingnya. Ia bukan sahaja untuk sukan, tetapi boleh dibangunkan fasiliti sampingan seperti bengkel, akademi permotoran atau tarikan pelancongan.

“Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif akan mengetuai rundingan mengenai terma-terma kontrak baharu itu. Saya berharap kita boleh lanjutkan kontrak ini kerana tanpanya, kita tiada acara antarabangsa di Sepang yang mampu menarik minat penonton,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |