PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk mewujudkan satu Kod melibatkan etika pemakaian termasuk penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian setiap atlet dalam setiap kejohanan disertai.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan semua pasukan, termasuk profesional mahupun persatuan supaya berwaspada dengan setiap tindakan dibuat melibatkan pemakaian atlet.
Justeru, pihaknya akan merujuk kepada Pegawai Undang-Undang (PUU) bagi merangka satu Kod membabitkan perkara tersebut dalam usaha memastikan maruah negara tidak tercalar di peringkat antarabangsa.
“Setakat ini selalunya hanya diberikan amaran dan penaja juga sudah mengeluarkan kenyataan minta maaf dengan cepat. Saya minta semua atlet dan pengurus pasukan, tidak kira profesional atau persatuan supaya memeriksa jersi dan pastikan semuanya teratur.
“Di gelanggang ada siaran langsung di peringkat antarabangsa, jadi itu sepatutnya tidak berlaku tetapi ia sudah pun terjadi. Saya akan minta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tengok apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Simposium Sukan Selamat Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.
Semalam, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpalit dengan kontroversi apabila jersi yang dipakai memaparkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia sehingga memaksa penaja Zii Jia, Victor membuat permohonan maaf dengan kadar segera.
Pada masa sama, Hannah percaya insiden tersebut bukanlah sesuatu yang disengajakan kerana menganggap mana-mana atlet Malaysia tidak memiliki niat atau motif untuk memalukan negara di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE