MENDAPATKAN karya tulisan penulis senior bukan satu perkara mudah melainkan berkunjung ke kedai buku yang menjual barangan lama.
Sebilangan juga mungkin tidak mengenali mereka yang sebelum ini bermati-matian berjuang untuk memartabatkan cerita anak tempatan agar tidak luput ditelan dek arus perdana.
Oleh itu, pujian harus diberikan kepada Buku Fixi yang menerbitkan semula hasil tulisan penulis tersohor Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail bertajuk Tembok Tidak Tinggi.
Sedikit cerita mengenai sejarah buku tersebut, ia pertama kali diterbitkan pada tahun 1967 oleh Pustaka Melayu.
Kemudian, buku itu diterbitkan lagi pada tahun 1986 oleh Teks Publishing, manakala 1994 oleh Creative Enterprise sebelum kembali diterbitkan oleh Buku Fixi menerusi cetakan pertama pada Oktober 2024.
Buku Tembok Tidak Tinggi diterbitkan semula menerusi koleksi Fixi Retro yang menceritakan perjuangan anak bangsa dalam mempertahankan negara daripada menjadi mangsa rakus penjajah.
Ia mengisahkan pengalaman hitam yang perlu diharungi oleh orang zaman dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Buku tersebut bermula kisah dengan tentera British kembali ke Singapura setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Tentera British berusaha untuk mencari penduduk tempatan yang mempunyai kaitan dengan tentera Jepun.
Kehidupan penduduk kampung makin terhimpit kerana tidak habis-habis terpaksa hidup dalam ketakutan akibat diseksa oleh tentera-tentera penjajah.
Memetik kata peguam dan penulis Iman Danial Hakim yang menulis kata pengenalan versi Fixi Retro yang dimasukkan dalam buku terbitan terbaharu itu, karya tulisan A. Samad Ismail tersebut bukan sekadar ‘dongeng rakyat’ biasa yang menjadikan elemen sejarah sebagai tulang cerita.
Sebaliknya, kisah yang ditonjolkan seperti memberi gambaran tentang insiden sebenar berlaku kepada mereka yang terlibat dalam penerbitan akhbar.
“Seusai membaca Tembok Tidak Tinggi, saya seperti diterjah perasaan yang tidak menentu. Novel ini bukan sekadar sebuah cerita fiksyen.
“Ia adalah rakaman kepada peristiwa sebenar penderitaan orang surat khabar. Sejak awal bidang kewartawanan tidak pernah menjanjikan kesenangan dan kemewahan kepada A. Samad Ismail.
“Beliau pernah bekerja tiga bulan tanpa gaji. Disumbat ke dalam penjara tanpa bicara dan dihakimi. Cacian dan hinaan pula sudah menjadi lumrah dalam kehidupan beliau,” katanya.
Sementara itu, buku tersebut menceritakan kepelbagaian bangsa dan masyarakat pada ketika itu. Selain Melayu ada juga menceritakan tentang kehadiran bangsa asing seperti India, Cina, Banggali dan Inggeris.
“Pegawai India berbadan gempal mengangguk, berjalan terus mengayunkan tongkat panjangnya dan pengawal Banggali itu berteriak lagi: “Mandi! Boleh mandi!”
“Dan apabila askar Gurkha datang ke rumahnya mengiringi pegawai-pegawai perisik British, Rokiah makin gugup, makin cemas.
“Orang tahanan Melayu jarang bergaul dengan orang tahanan Cina atau India kecuali berbual-bual ketika duduk di padang menunggu roll call pagi-pagi atau ketika makan nasi atau bersenam di tengah pekarangan,” tulis A. Samad.
Dalam buku itu turut menceritakan bagaimana gerak kerja dan tekanan yang dihadapi oleh wartawan dalam menyampaikan berita kepada rakyat.
Wartawan berusaha melakukan apa sahaja demi memastikan maklumat yang diperoleh sahih dan benar.
“Mengapa pegawai-pegawai perisik itu tidak pernah menimbulkan kerjanya di Warta Malai?
“Ketika dia belum tertangkap, surat khabar heboh dengan berita-berita penangkapan orang yang bekerjasama dengan Jepun. Tetapi orang yang dikatakan ditangkap oleh tentera British ialah mereka yang menganiaya rakyat pada masa pemerintahan Jepun, polis, informers dan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pembunuhan, penyeksaan atau penangkapan orang yang tidak bersalah pada masa Jepun.
“Banyak wartawan lain yang bekerjasama dengan Jepun menerbitkan surat khabar dalam zaman pendudukan. Tetapi mengapa hanya suaminya yang tertangkap?” tulis beliau.
Buku tulisan beliau itu bukan sahaja menjadi pembakar semangat untuk memperjuangkan kebenaran, tetapi turut menggambarkan tentang peranan wartawan dalam masyarakat.
“Selepas perang apabila parti-parti politik muncul, peranan wartawan tidak berubah dan mereka berjuang bahu-membahu dengan pemimpin-pemimpin politik sebagai pengkritik, pengulas dan pentafsir pergolakan dalam masyarakat,” katanya.