‘Kali pertama Aisha menangis begitu, ada babak berguling atas lantai’

5 hours ago 4

PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha mengakui tangisan anak bongsu, Aisha Amaira kerana tidak mahu ditinggalkan olehnya baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam terhadap emosinya.

Menurut Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, perkara tersebut mengejutkannya kerana pertama kali berlaku namun dia tetap terpaksa meninggalkan anak-anaknya demi tuntutan kerja.

“Sehingga hari ini, saya masih rasa berat hati sebab Aisha tidak pernah menangis begitu teruk sebelum ini.

“Ada juga babak dia berguling atas lantai kerana terlalu sedih sehingga enggan ke sekolah sebab mahu ikut saya. Dia terlalu emosi apabila saya terpaksa tinggalkannya.

“Selepas pulang ke rumah saya pujuknya. Bila situasi begini berlaku, saya yang kena kuatkan hati dan mental,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) di sini, semalam.

Dalam pada itu, dia berkata momen hiba tersebut membuatkan dia terfikir untuk memperlahankan kerjaya seni bagi meluangkan banyak masa bersama keluarga.

“Itulah yang membuatkan timbul secebis perasaan mahu tinggalkan dunia lakonan, fokus pada anak dan mungkin buat bisnes.

“Namun, seperti yang saya selalu katakan, lakonan sudah sebati dalam jiwa saya. Saya pula jenis yang tak suka duduk diam, jenis suka bekerja.

“Sebelum ini, ada juga dua bulan tak berlakon, memang rasa sangat lain. Terus rasa rindu nak kembali ke set penggambaran,” ujarnya.

Fasha bagaimanapun menegaskan tidak pernah terlintas atau terbit rasa penyesalan bergelar seorang pelakon meski perlu berkorban masa dengan keluarga.

“Nak kata saya menyesal ceburi dunia seni, memang tidak. Saya sayang kerjaya sebagai pelakon.

“Saya membesar dengan lakonan dan tak pernah rasa menyesal memilih jalan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Fasha memuat naik video memaparkan Aisha menangis kerana perlu berpisah dengannya yang terpaksa kembali ke set penggambaran.

Perkara tersebut juga membuatkan dia terfikir ingin berhenti daripada dunia lakonan.

Aisha merupakan anak hasil perkahwinan Fasha bersama pelakon, Aidil Aziz.

Sebelum itu, Fasha juga memiliki dua orang cahaya mata lain iaitu Putra Rayfal, 12, dan Putri Raysha Jemyma, 11, hasil perkahwinan dengan Rizal Ashram Ramli. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |