Kakitangan bank didakwa terima rasuah bantu lulus pinjaman peribadi

4 hours ago 2

KUANTAN – Dua kakitangan bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah melebihi RM109,832 sebagai ganjaran untuk membantu proses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang gagal memenuhi kelayakan pinjaman.

Tertuduh, Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, dan Nurul Hidayatul Asyikin Zolkeple, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Szalina Safie.

Irfan Syafiq Hafizi yang bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah cawangan bank di Damansara, Kuala Lumpur, berdepan 14 pertuduhan dengan nilai rasuah berjumlah RM99,030.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang secara rasuah berjumlah antara RM1,843 hingga RM22,400 melalui pindahan dalam talian daripada empat akaun bank berbeza ke dalam akaun bank miliknya.

Wang itu diterima sebagai upah untuk membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi sebuah syarikat (pelanggan) secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan lain di beberapa institusi kewangan yang lain.

Perbuatan itu dilakukan antara 6 Jun 2023 hingga 6 Disember 2024 di sebuah cawangan bank di Jalan Bukit Ubi, di sini, menyebabkan pelanggan tersebut memiliki beberapa pinjaman peribadi yang melebihi had kelayakan pinjaman.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Chua Yong Yi.

Dalam prosiding pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dan tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan pada kadar paling minimum.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Nurul Hidayatul Asyikin yang bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Bandar Baru Bangi, didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,802 antara 6 Jun hingga 9 September tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam M.Maran mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh didakwa menerima antara RM760 hingga RM4,207 sebagai upah membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan lain di beberapa institusi kewangan yang lain.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 selepas mendengar rayuan tertuduh dan menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |