
- Oleh ADNAN IBRAHIM
- 23 Oktober 2025, 10:59 am
KLUANG – Tindakan berani mati seorang lelaki yang menjual dadah dipercayai ekstasi di tepi Jalan Raja Udang, Taman Sam Hoe di sini membawa padah selepas ditahan polis tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam semalam, gerak-geri lelaki berusia 29 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati tahanan membawa sejumlah 20 peket plastik berwarna hitam dipercayai dadah jenis ekstasi dengan Jumlah berat 1,090 gram dalam beg hitam yang disandangnya.
“Turut dirampas wang tunai sebanyak RM200. Keseluruhan nilai dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM12,250. Semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis methaphetamin,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Oktober untuk membantu siasatan berkaitan pengedaran dadah di dalam serta luar bandar Kluang.-KOSMO! ONLINE