MELAKA – Sebuah premis menjual daging sejuk beku import di Ayer Keroh diserbu selepas dikesan memperdaya pelanggan dengan menggunakan perkataan halal pada papan tanda perniagaan meskipun tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, hasil semakan mendapati syarikat terbabit bukan pemegang SPHM yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, pemeriksaan di premis mendapati sebanyak 28.85kg produk daging pelbagai bahagian dengan logo halal tidak sah ditawarkan kepada pelanggan dan kesemuanya telah disita membabitkan nilai rampasan sebanyak RM7,802.15.
“Premis ini hanya menjual daging sejuk beku yang diimport dari Jepun dan Australia yang mempunyai sijil halal dari negara asal masing-masing, namun penggunaan perkataan ‘halal’ pada papan tanda boleh mengelirukan pengguna. Malah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah menegur premis berkenaan tahun lalu kerana kesalahan sama, namun ia masih berulang,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Operasi itu turut disertai pegawai dan anggota Bahagian Pengurusan Halal JAIM.
Menurut Mohd. Hazimin, JAIM telah mengeluarkan arahan supaya perkataan ‘halal’ diturunkan atau dipadam daripada papan tanda perniagaan dalam tempoh tiga hari.
“Selain itu, syarikat juga diarahkan memadam logo atau perkataan halal di semua platform digital dan media sosial mereka dengan segera.
“Ketika pemeriksaan, pekerja Islam di premis tersebut mengakui syarikat tidak memiliki SPHM dan hanya mengambil produk halal dari pembekal luar untuk dijual semula,” ujarnya.
Sementara itu, KPDN turut mengambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
6








![[KEMASKINI] ‘Saya hubungi bapa mentua 30 kali tidak berjawab’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-29-at-3.35.57-PM-e1761726179178.jpeg)








































