KUALA LUMPUR – Kampung Baru tidak wajar terus dikaitkan dengan polemik pembangunan Kampung Sungai Baru yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya perlu dijenamakan semula sebagai sebuah perkampungan Melayu bersejarah, unik dan bernilai tinggi di tengah ibu negara.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sudah tiba masanya persepsi negatif terhadap Kampung Baru atau turut dikenali sebagai Kampong Bahru diperbetulkan kerana isu yang berlaku di Kampung Sungai Baru bukan berpunca daripada sikap atau kehendak penduduk asal.
“Masalah yang berlaku di Sungai Baru ini sebenarnya berpunca daripada perancangan pembangunan yang tidak betul. Ia tidak ada kena mengena dengan penduduk Kampung Baru yang digambarkan seolah-olah mereka tamak atau tidak bersyukur. Itu satu salah faham besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Citrawarna Kampung Baru 125 Tahun di Pintasan Saloma, di sini hari ini.
Menurut Johari, Kampung Baru yang berusia 125 tahun merupakan tanah dikurniakan Sultan Selangor bagi membolehkan orang Melayu menetap di tengah-tengah Kuala Lumpur dan sejarah tersebut perlu dipelihara serta diketengahkan kepada masyarakat seluruh negara.
“Kita mahu apabila orang datang ke Kuala Lumpur, mereka datang ke Kampung Baru untuk melihat keindahan sejarah Melayu, bukan membawa cerita lama tentang Sungai Baru,” ujarnya.
Katanya, dengan keluasan kira-kira 230 hektar, Kampung Baru mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan bandar memandangkan lokasinya yang strategik berhampiran pusat bandar, kemudahan MRT, LRT serta Jambatan Saloma.
Dalam pada itu, beliau menegaskan terdapat tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan usaha penjenamaan semula Kampung Baru berjaya, iaitu kebersihan, keselamatan dan penganjuran program komuniti secara berterusan.
“Kampung Baru mesti sentiasa bersih, selamat dan hidup dengan program-program yang menarik seperti acara seni, pameran, sukan dan kebudayaan supaya orang luar yakin dan selesa untuk datang,” katanya.
Mengulas isu pembangunan Kampung Sungai Baru, Johari berharap pemaju terlibat dalam melakukan pecah tanah baru-baru ini menunaikan janji untuk menyiapkan rumah penduduk yang telah berpindah sejak lapan tahun lalu.
“Penduduk menunggu rumah sebagai pampasan, bukan keuntungan pemaju semata-mata. Sejarah hitam ini mesti dijadikan iktibar supaya tidak berulang di Kampung Baru,” tegasnya.
Tambah beliau, penduduk Kampung Baru harus diberi pilihan sama ada mahu membangunkan tanah masing-masing atau mengekalkan kediaman sedia ada tanpa sebarang paksaan.
“Kampung Baru ini aset yang tidak ternilai. Kita jaga, kita hidupkan dan kita tonjolkan nilai sejarahnya. Itu rebranding sebenar yang kita mahu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5









![[VIDEO] Saya sedia ‘rematch’ – Yusuf Azmi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-21-at-1.51.56-PM.jpeg)







































