Jawatan kosong ‘tersembunyi’ punca pengangguran belia berlarutan, kata kesatuan

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memberi amaran amalan menyembunyikan maklumat jawatan kosong berisiko memburukkan masalah pengangguran belia.

Situasi ini menyebabkan ramai graduan berdepan masalah tidak mempunyai laluan jelas untuk mendapatkan pekerjaan.

Presiden UNI-MLC, Shafie BP Mammal berkata, masalah sebenar bukan kekurangan bakat, sebaliknya kurangnya ketelusan dalam penyebaran maklumat peluang pekerjaan.

Beliau mendakwa ketika ini iklan jawatan kosong disebarkan di portal persendirian, kumpulan WhatsApp dan rangkaian tertutup yang disifatkan sebagai tidak adil.

Statistik menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun adalah sekitar 9.9 peratus, melibatkan lebih 290,000 orang, manakala golongan berusia 15 hingga 30 tahun mencatat kadar 6.2 peratus.

Menurut Shafie, angka itu sebenarnya menggambarkan realiti yang sudah lama dihadapi keluarga.

“Anak-anak mereka memohon pekerjaan di merata tempat tetapi masih gagal mendapat kerja tetap.

“Mereka tidak pasti sama ada peluang sudah terlepas hanya kerana maklumat tidak tersusun,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dengan menambah Seksyen 45F, yang mewajibkan majikan mengiklankan semua kekosongan jawatan ke portal MYFutureJobs.

Shafie berkata, langkah itu akan mewujudkan satu pusat rujukan nasional supaya setiap graduan boleh merujuk iklan pekerjaan di plattform khas.

Menurutnya, majikan masih boleh menggunakan platform lain seperti JobStreet atau LinkedIn, namun MYFutureJobs akan menjadi asas minimum supaya rakyat tahu di situlah peluang kerja mesti dipaparkan.

Katanya, ketelusan ini penting untuk melindungi hak dan masa depan pekerja muda.

Beliau turut menyatakan pembaharuan itu selari piawaian antarabangsa, di mana Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengiktiraf ketelusan maklumat kekosongan jawatan sebagai sebahagian daripada perlindungan asas pekerja.

“Sistem buruh moden mesti aktif, adil dan terbuka,” katanya sambil menyatakan sokongan penuh UNI-MLC terhadap prinsip itu.

Shafie turut menyatakan kesediaan pertubuhannya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan majikan bagi memastikan pelaksanaan pindaan itu berjalan lancar serta praktikal.

Beliau menegaskan pindaan itu bukan bertujuan membebankan majikan, sebaliknya memastikan rakyat Malaysia tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan hanya kerana maklumat disembunyikan.

Di sebalik ada gesaan supaya pelaksanaannya ditangguhkan, Shafie menggesa kerajaan tidak melayannya dan berundur.

“Kami menggesa kerajaan supaya kekal tegas dan meneruskan usaha ini.

“Manfaat jangka panjang kepada pekerja amat jelas dan tidak perlu moratorium. Sistem buruh moden bermaksud peluang kerja perlu telus dan adil, bukan tersembunyi dan terpilih,” katanya. – FMT

Read Entire Article
Pertanian | | | |