KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat negeri ini tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya pada hari awal bencana.
Titah baginda, kelewatan bantuan berlaku kerana banjir datang secara mendadak dan menyukarkan proses penyelarasan.
Baginda bertitah, ia bukan disengajakan malah semua pihak telah berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa.
“Cuma hari pertama ada kelewatan, bukanlah disengajakan dan saya harap kita jangan politikkan kelewatan pada hari itu (hari pertama di PPS) kerana terdapat banyak masalah tersendiri.
“Mereka ini (petugas) terkejut apabila banjir berlaku dengan sekelip mata dan alhamdulillah saya harap ini tidak akan berlaku di masa-masa akan datang,” titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Redang di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda bertitah, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir telah pulih sepenuhnya, namun masih terdapat beberapa jalan terputus iaitu di Pulau Manis dan Bukit Kenau, Sungai Lembing.
“Ahamdulillah, kita terus berdoa dan rakyat Pahang kena terus berdoa ke hadrat Allah supaya kita memohon cuaca bertambah baik dan bencana banjir ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin,” titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak agar bersedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya yang dijangka berlaku minggu hadapan
Baginda turut menasihatkan mangsa banjir agar tidak tergesa-gesa meninggalkan PPS.
“Saya menyeru rakyat agar terus bersabar, memperkukuh doa dan kebergantungan kepada Allah dalam menghadapi dugaan ini.
“Kesabaran adalah sebahagian daripada iman, dan doa kita adalah sebahagian daripada ibadah kita,”titahnya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































